fbpx

Awal Ashaari, Isteri Tak Rancang Tambah Anak Lagi

Pelakon dan pengacara Awal Ashaari berkata dia dan isterinya, Scha Alyahya tidak merancang untuk menambah anak bagi mendapatkan zuriat lelaki selepas dikurniakan dua orang cahaya mata.

Memetik Kosmo, Awal berkata tugas untuk membesarkan dua orang anak buat masa ini sudah cukup mencabar apatah lagi mahu menyediakan yang terbaik untuk anak-anaknya.

BACA: Awal Ashaari & Scha Alyahya Bawa Anak Bercuti Ke Jepun Jika Puasa Penuh

“Untuk menambah bilangan cahaya mata, saya ada bercakap dengan isteri cukuplah (dua orang anak). Ketika anak masih kecil, memang seronok melayan. Tapi apabila mereka semakin membesar, ada satu tanggungjawab yang perlu kita lakukan dengan sempurna.

“Sebagai ibu bapa, kami perlu menyediakan yang terbaik untuk anak-anak selain perlu memastikan kesihatan mental mereka terjaga. Sebab saya dan isteri memang sibuk. Keluar pagi, balik malam,” katanya.

Menurut Awal lagi, dia bimbang jika tidak dapat memberikan perhatian sebaiknya jika mempunyai anak yang ramai namun tidak menolak jika diberikan rezeki zuriat ketiga di masa akan datang.

“Saya takut kalau ada anak ramai, jadi tidak terjaga. Buat masa sekarang dua anak sudah pun membuatkan saya dan Scha gembira. Tapi kalau ada rezeki, kami tidak menolaknya (anak ketiga),” katanya.

Dalam pada itu, Awal mengakui kos membesarkan anak memerlukan perbelanjaan cukup tinggi apatah lagi mahu memberikan yang terbaik buat kedua-dua puterinya.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik untuk anak-anak terutama pendidikan. Macam Lara, saya hantar dia ke kelas itu dan ini.

“Jadi bila difikirkan balik, lagi ramai anak, lagi besar tanggungjawab kami nanti terutama daripada segi pelaburan (kos).

“Kos membesarkan anak pun sudah cukup tinggi. Tapi mungkin sebab pilihan kami sendiri juga yang mahu berikan terbaik buat mereka,”  katanya.

Sementara itu, Awal mengakui kasihan melihat anaknya perlu menghadiri pelbagai jenis kelas tambahan kerana takut jika mereka akan ketinggalan.

“Kasihan juga sebab pada usia masih kecil, Lara sudah sibuk dihantar ke pelbagai kelas. Saya tidak nafikan sebenarnya saya sendiri takut anak-anak akan ketinggalan.

“Tapi bila difikirkan semula, bagus juga sebab apabila mereka besar nanti, mereka akan memiliki pelbagai kemahiran berguna,” katanya.

Awal dan Scha mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 di Hotel. Pasangan itu dikurniakan dua orang anak iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.