fbpx

Atilia Pernah Tak Nak Bersukan Sebab Risau Berat Badan Turun

Meskipun kini dikenali antara selebriti yang gemar melakukan senaman yoga, bagaimanapun Atilia Haron mengakui dia bukanlah seorang yang gemar melakukan aktiviti sukan lebih-lebih ketika zaman remajanya di sekolah.

Malah, Atilia berkata dia pernah tidak mahu melakukan sebarang aktiviti bersukan kerana bimbang akan mengalami penurunan berat badan sekiranya aktif.

BACA: Atilia Dikecam Berkaki Ayam Buat Yoga Di Pasar Raya

“Sayalah insan yang paling malas bersukan di sekolah. Saya hanya berlari pecut sahaja kerana aktiviti itu boleh diselesaikan dengan cepat.

“Saya pernah ada asma yang teruk, selalu mengantuk dan keletihan. Saya tidak mahu melakukan sebarang sukan kerana bimbang berat badan turun. Saya seorang yang susah untuk naik berat badan (ya, itu satu masalah),” katanya.

Dalam pada itu, Atilia berkata masalah berat badan kurang itu juga membuatkan dia tidak pernah dibenarkan melakukan proses derma darah.

Berkongsikan cerita bagaimana dia boleh terjebak dengan senaman yoga, Atilia berkata dia mula menukar gaya hidup selepas berdepan dengan satu insiden yang mencemaskan.

“Pada satu malam, saya perlu menyanyi dan saya tidak boleh bernafas, saya sangka saya nak mati. Ketika itu usia 30 tahun.

“Saya kemudian mencuba yoga. Pada hari ini, selepas 16 tahun, saya rasakan inilah satu keputusan yang terbaik saya pernah buat,” katanya.

Terdahulu, nama Atilia menjadi bualan ramai apabila melakukan yoga di sebuah pasar raya puast membeli-belah. Tindakannya itu menimbulakn rasa kurang senang apabila tampil berkaki ayam melakukan aksi tersebut.