Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN akan diterima pakai secara rasmi dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, draf deklarasi yang dimulakan dan diketuai Malaysia itu telah disokong oleh Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab ke atas Maklumat (AMRI) ke-17 pada 7 Mei lalu.
“Melalui deklarasi ini, ASEAN memperkukuhkan usaha bersama untuk memupuk tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab dalam kalangan rakyat serta membina komuniti digital yang berdaya tahan dan berteraskan rakyat.
“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan serantau dalam usaha membina persekitaran digital yang selamat, inklusif dan dipercayai.
“Melalui kerjasama, saling mempercayai dan pembangunan kapasiti yang berterusan, kita boleh memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir dalam era digital ini,” katanya.

Fahmi Fadzil menyatakan komitmen Malaysia membina persekitaran digital yang selamat, inklusif dan dipercayai bersama negara serantau.
Fahmi berkata demikian dalam kenyataan menteri sempena Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) 2025 di Tokyo, Jepun, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan Malaysia juga sedang meneroka penubuhan ‘Kit ASEAN bagi Keselamatan Dalam Talian’ yang bertujuan mengumpulkan sumber praktikal dan amalan terbaik dari negara anggota ASEAN bagi menangani cabaran keselamatan dalam talian yang unik bagi setiap negara.
Katanya, dokumen itu akan menjadi panduan untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman sekaligus membolehkan negara anggota saling belajar antara satu sama lain.
“Ini sekaligus memperkukuh usaha serantau dalam memerangi berita palsu, maklumat salah, maklumat palsu dan maklumat berniat jahat yang semuanya menyumbang kepada mudarat dan eksploitasi dalam talian merentasi rantau ini,” katanya.
Berkongsi pengalaman Malaysia menangani maklumat palsu, Fahmi berkata kerajaan telah menubuhkan portal semakan fakta Sebenarnya.my yang menerima purata 2.2 juta capaian bulanan.
Katanya, bagi meningkatkan kebolehcapaian, platform itu telah memperkenalkan chatbot AIFA yang boleh diakses melalui WhatsApp dan laman sesawang untuk membolehkan semakan berita secara masa nyata.
“Sehingga 31 Mac 2025, AIFA telah memproses lebih 84,000 mesej iaitu purata 1,338 mesej setiap hari sekali gus menunjukkan peranannya yang penting dalam membantu orang ramai menyemak serta mendapatkan maklumat yang tepat dengan cepat,” katanya.

Fahmi Fadzil sewaktu menyampaikan kenyataan menteri pada Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) 2025 di Tokyo, Jepun.
Tambah Fahmi, dalam usaha memperkukuh akauntabiliti platform digital, Malaysia turut memperkenalkan Kerangka Peraturan bagi Penyedia Perkhidmatan Pemesejan Internet dan Media Sosial.
Katanya, kerangka peraturan itu mewajibkan platform dengan lapan juta pengguna atau lebih di negara ini mendapatkan Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polisi ini yang mula berkuat kuasa sejak Januari 2025, memastikan platform utama mematuhi undang-undang negara dan mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam menguruskan kandungan berbahaya,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada insitif berkenaan, Fahmi berkata Malaysia juga telah membangunkan Kod Tatakelakuan (Amalan Terbaik) bagi Penyedia Perkhidmatan Pemesejan Internet dan Media Sosial (CoC) yang telah diterbitkan pada 20 Disember 2024.
Kod ini bertujuan untuk menggalakkan amalan beretika, akauntabiliti dan moderasi kandungan yang bertanggungjawab oleh platform seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dahulunya Twitter) dan TikTok, katanya.