fbpx

“Arwah Minta Kami Rahsiakan” – Ani Mayuni

Sebentar tadi, industri hiburan tanah air mengejutkan ramai dengan berita pemergian penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Noor yang menghidap kanser ovari tahap empat.

Memetik Utusan Online, penyanyi Ani Mayuni mengakui dia mengetahui mengenai keadaan arwah namun terpaksa merahsiakannya bagi menghormati permintaan Adibah.

BACA: Adibah Noor Meninggal Dunia

“Kami terpaksa rahsiakan. Arwah sebelum ini pernah berkongsi keadaannya kepada saya dan juga beberapa orang rakan dan ahli keluarga.

“Arwah minta kami rahsiakan. Kami tak dapat nak war-warkan bahawa dia sedang menanggung kesakitan,” katanya.

Menurut Ani lagi, arwah sebelum ini sering demam dan dimasukkan ke hospital dan barulah arwah berkongsikan mengenai kanser yang dihidapinya.

“Allahyarham mula sakit selepas tamat Gegar Vaganza 8. Dia alami demam selepas penggambaran Gegar Vaganza Raya dan ditahan di wad untuk tempoh yang agak lama.

“Kami tertanya-tanya, kenapa dia masuk wad terlalu lama? Ingatkan arwah dijangkiti Covid-19. Setelah itu, barulah dia kongsikan kepada kami tentang kanser tersebut selain memaklumkan dirinya baru selesai menjalani pembedahan.

“Arwah selepas itu menjalani tempoh berpantang dan memberitahu mahu berehat buat sementara waktu. Gambarnya turun berat badan yang tular sebelum ini diambil ketika dia mula bekerja selepas berehat panjang,” katanya.

Difahamkan, Adibah menghembuskan nafas terakhir pada 7.40 petang tadi dan jenazah masih berada di hospital Gleaneagles dan akan dibawa ke rumah kakaknya di Keramat Permai, Kuala Lumpur.