fbpx

Adibah Noor Meninggal Dunia

Penyanyi dan pelakon serba boleh, Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, setelah mengalami sesak nafas.

Khabar dukacita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.

“Allahuakbar sedihnya, terkejut dapat berita ni. Sahabat kita yg versatile Adibah Noor @adibahnoormohdomar, baru sahaja meninggal dunia,” katanya dalam muat naik sekitar jam 8 malam.

Selebriti dengan nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar itu berusia 51 tahun.

Pada minggu lalu, namanya kembali menjadi tajuk utama portal hiburan setelah tersebar gambar terbarunya yang kelihatan jelas mengalami pengurangan berat badan.

Namun, dalam temu bual bersama wartawan, Adibah hanya memberitahu perubahan ketara berkenaan adalah disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet yang lebih sihat semenjak bulan Ramadan lalu.

Kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 filem seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu beliau membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.

Dalam dunia nyanyian, beliau sempat merakamkan dua buah album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain. – Astro Awani