Pengurus Senario, Nizam Othman yang sudah 26 tahun menguruskan kumpulan lawak nombor satu Malaysia, Senario sejak awal penubuhan 1996 sebak menceritakan kebaikan Allahyarham Hamdan.
Memetik BH Online, Nizam berkata arwah selalu berpesan kepadanya supaya jangan tinggal solat serta selalu berbuat baik dengan semua orang.
BACA: Hamdan Senario Meninggal Dunia
“Arwah selalu berpesan kepada saya. Zam (Nizam) jaga diri, keluarga, jangan tinggal solat dan buat baik dengan semua orang.
“Arwah juga pesan maafkan semua orang, biar orang buat kita mungkin mereka hendak mengisi masa lapang. Ingat Zam (Nizam), Allah sentiasa ada, jangan kita mengata orang dan ada niat tak elok kepada orang tak baik.
“Ayat ini berulang kali dan tidak pernah lekang keluar dari bibir arwah sepanjang hayatnya dan setiap kali saya bertemu dengannya,” katanya.
Menurut Nizam lagi, dia menggangap ahli keluarga Senario seperti abang dan adiknya. Malah, arwah Hamdan sering mengambil berat terhadap setiap ahli kumpulan Senario serta dirinya.
“Apabila anaknya memaklumkan oksigen arwah hanya tinggal 20 peratus pagi tadi, saya memang menetap di sebuah hotel di Johor Bahru sejak Isnin lalu terus bergegas ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Saya sempat menatap wajah arwah kali terakhir, hanya Allah sahaja tahu kebaikan apa yang pernah arwah lakukan sepanjang hayatnya,” katanya.
Allahyarham Hamdan menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.50 tengahari tadi di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Terdahulu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA, Johor Bahru akibat komplikasi buah pinggang pada pada 31 Disember lalu.