Pelawak Hamdan Ramli disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
Memetik BH Online, anggota kumpulan Senario iaitu Azlee berkata arwah Hamdan dijangka dibawa pulang ke Ipoh, Perak, petang ini.
BACA: “Hamdan Cuba Buka Mata, Gerakkan Bibir” – Isteri
“Keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua hari lalu apabila jantung hanya 20 peratus berfungsi dan bantuan pernafasan tidak mampu menyokong arwah.
“Saya sudah menguruskan van jenazah untuk membawa arwah pulang ke kediamannya di Ipoh.
“Kami menjangkakan jenazah akan tiba sekitar jam 8 malam, tapi bila akan dikebumikan belum pasti. Itu perlu tanya keluarga arwah dahulu,” katanya.
Terdahulu, Hamdan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor sejak Ahad lalu kerana jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.
Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.