Pelakon Liyana Jasmay berkata dia melihat sifat saling menyokong satu sama lain dalam kalangan penggiat seni sudah tiada.

Memetik Harian Metro, Liyana berkata dia turut terkilan dengan sikap segelintir rakan industri yang didakwa bersikap suka menjatuhkan orang lain.

BACA: “Dah Tua, Tak Sesuai” – Netizen Tegur Liyana Jasmay Pakai Skirt Pendek

“Sebenarnya benda ini bukannya datang daripada kalangan netizen sahaja. Saya bukan cuba nak menjatuhkan atau mengaibkan sesiapa, tetapi penyatuan dalam industri ini memang tak ada. Kebersamaan untuk memberi sokongan itu sangat kurang.

“Apabila melihat seseorang itu sudah ‘evolve’ (berevolusi) daripada satu tahap ke tahap yang lain, ia bukan satu perjalanan yang mudah. Saya sendiri dapat merasakan ‘vibe’ tersebut,” katanya.

Lebih mengejutkan Liyana berkata mereka yang memberikan kata-kata tidak baik itu bukan orang luar sebaliknya individu yang dianggap sebagai kakaknya sendiri.

“Mungkin saya sendiri ada masalah kerana saya jenis yang cepat mesra. Bila saya kawan dengan seseorang, saya anggap macam kakak sendiri dan saya harapkan orang itu akan suka saya semula, tetapi sebenarnya tidak.

“Kita rasa sahaja orang sama-sama rambut hitam ini baik dengan kita, tapi mungkin sebenarnya mereka tidak berkenan dengan kita. Saya lebih sedih kalau mendengar kritikan daripada orang yang saya kenal berbanding orang asing,” katanya.

Dalam pada itu, Liyana memegang nasihat daripada individu dalam industri seni agar tidak menghakimi  hasil karya individu lain.Tambahnya, dia arwah bapanya turut berpesan bukan mudah untuk berjaya kerana sepanjang perjalanan itu ramai yang akan membenci.

“Seni ini tiada istilah salah atau betul. Ia adalah interpretasi seseorang terhadap visi dan misi mereka. Saya tidak pernah menghakimi karya orang lain.

“Namun, lumrah dalam industri kita, melihat orang jatuh itu lebih menyeronokkan daripada menepuk tangan. Orang lebih suka gelakkan kegagalan kita.

“Arwah bapa saya selalu pesan, untuk berjaya itu memang susah dan memang banyak orang akan benci kita dalam perjalanan menuju kejayaan tersebut. Jadi, saya harus terus kuat,” katanya.

Sumber: Harian Metro

×