fbpx

Artis Nasyid Terjejas Akibat COVID-19 Dilantik Sebagai Bilal Rawatib

Tidak dinafikan ramai yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 kerana tidak boleh keluar bekerja seperti biasa untuk mencari pendapatan, termasuklah penggiat seni tanah air.

Malah, ramai penggiat nasyid tanah air juga turut hilang mata pencarian kerana bergantung sepenuh masa pada bidang hiburan. Pelbagai isu-isu kebajikan artis nasyid dikongsikan untuk perhatian pihak kerajaan.

BACA: Mahu Selesaikan Isu Identiti, Sajat Sedia Bertemu JAKIM

Justeru itu, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan bagi merangka pelan pembangunan semula industri nasyid dalam usaha memperkasa industri berkenaan.

Difahamkan, ia melibatkan stesen TV Al-Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Nasyeed.Com dan NGO Creative Dakwah Club.

Menurut Dr. Zulkifli, artis nasyid yang hilang punca pendapatan juga akan dilantik sebagai bilal rawatib bagi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

“Anugerah Allah SWT kepada mereka wajar dimanfaatkan sebaiknya. 3 minggu lagi saya akan meneliti kertas cadangan daripada mereka berhubung hal ini.

“Saya mahu anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid kembali diadakan. Kita akan memperkasakan nasyid menerusi industri muzik digital yang kian pesat kini.

“Saya tidak ada apa-apa kepentingan. Saya cuma nampak potensi yang amat besar pada mereka bagi turut sama menyumbang kepada dakwah. Selagi saya masih berkhidmat, saya akan usahakan sehabis baik untuk industri nasyid tanahair,” katanya.