fbpx

Arja Lee Kini Pensyarah Di Universiti Malaysia Kelantan

Kini bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sejak beberapa bulan lalu, impian pelakon Arja Lee untuk menceburi bidang akademik menjadi kenyataan.

Menurut Arja, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pengajar serta berkongsi ilmu sebagai anak seni kepada generasi muda.

BACA: Arja Lee Akui Ada Artis Tidak Puas Hati Dengan Dirinya

“Alhamdulillah, UMK menawarkan saya untuk berkhidmat menjadi pensyarah dalam bidang seni persembahan. Saya pun baharu saja menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang itu.

“Saya melihat tawaran itu satu rezeki yang cukup bermakna kerana inilah masa untuk berkongsi ilmu sebagai anak seni. Saya ingin melihat anak-anak muda kita bersedia dan cukup serba-serbi terutama yang ingin menceburi bidang seni.

“Saya berazam memikul tanggungjawab sebagai ahli akademik sebaiknya dan berbakti dengan ikhlas menabur ilmu. Jalan sudah terbuka dan saya perlu memanfaatkan sebaiknya kepercayaan diberikan UMK ini,” katanya.

Dalam pada itu, Arja berkata sudah tiba masanya untuk dia fokus dalam bidang akademik. Ujarnya lagi, memiliki kerjaya lain amat penting supaya tidak bergantung dengan pekerjaan sebagai artis.

“Saya sudah berada di tahap yang berfikiran jauh ke hadapan mengenai arah tuju hidup saya. Saya mencari jaminan kerjaya yang mampu memberikan saya kepuasan selain tidak risau mengenai pendapatan.

“Kalau sekiranya bidang glamor bukan lagi fokus saya selepas ini, sekurang-kurangnya masih dapat gunakan ilmu seni dalam akademik. Dan saya yakin jalan dipilih ini yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Arja mengambil Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.