fbpx

Apokalips X: Filem Paling Ditunggu Dari Mamat Khalid Kini Di Pawagam

Selepas beberapa tahun menjalani proses produksi, akhirnya filem arahan Mamat Khalid yang menjadi penantian ramai ini sudah berada di pawagam bermula 3 April 2014 & kami sendiri teruja untuk melihat sentuhan pengarah versatil ini.

Apokalips X sebuah terbitan Astro Shaw ini merupakan filem Mamat Khalid yang pastinya jauh berbeza dari filem beliau sebelum ini seperti Zombie Kilang Biskut, Man Laksa, Rock, Kala Malam Bulan Mengambang, Zombie Kg. Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang semuanya terkesan di hati peminat filem.

Mengambil latar selepas Perang Kimia yang memusnahkan seluruh dunia, Apokalips X berkisar sekumpulan anak muda yang berjuang untuk terus hidup dalam usaha menegakkan keamanan melalui perjanjian damai walaupun wujudnya rasa dendam dan benci di antara mereka.

Tiga orang pahlawan utama yang tinggal selepas peperangan tersebut iaitu X (Farid Kamil), Sri Gala (Peter Davis) & Kala Jengking (Jehan Miskin). Masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang begitu taat kepada mereka.

1966348_744071975626843_1488924682_o

Tetapi perjanjian damai yang telah memberhentikan pertempuran maut satu ketika dahulu menjadi semakin terancam apabila Aman Chai, pengikut utama X jatuh cinta kepada anak kesayangan Sri Gala iaitu QiQi (Miera Leyana).

Pergelutan yang tercetus akibat daripada hubungan cinta tersebut dan juga hasutan dari Kala menyebabkan QiQi tercedera parah. Sri Gala yang meradang dengan kejadian itu bertekad mahu keluar daripada perjanjian damai yang telah termeterai bertahun lamanya.

Apabila ketegangan antara X & Sri Gala semakin memuncak, Kala yang gila kuasa pula mengambil kesempatan dengan merancang tindakannya untuk menjatuhkan kedua-dua geng tersebut. Kala berjaya menambahkan bilangan pengikutnya dan bersiap sedia untuk membuat serangan.

10003831_744071858960188_125790017_o

Apakah kesudahan konflik yang berlaku antara anak muda ini dan mampukah mereka terus memegang janji untuk tidak berperang & seterusnya mengulangi kehancuran yang pernah terjadi. Jangan lupa saksikan filem hebat Apokalips X terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Tayangan Unggul ini di pawagam berhampiran. Jom!

Maklumat lanjut: Laman rasmi filem Apokalips X #ApokalipsX #AstroShaw