fbpx

“Apa Yang Seronok Sangat Sebarkan Kematian Saya?”

Pelakon AR Badul meluahkan rasa kesal dengan penyebaran berita palsu tentang kematian beliau yang menjadi bualan ramai semalam. Berita palsu tersebut telah dikongsikan melalui aplikasi Whatsapp dan beberapa blog.

AR Badul mendakwa penyebaran berita palsu itu menyusahkan keluarga dan saudara mara yang risau sehingga ada yang sudah menempah tiket kapal terbang untuk menghadiri majlis pengkebumian beliau.

“Saya pun hairan, apa yang membuatkan mereka seronok sangat menyebarkan kematian orang? Perkara sebegini menyusahkan ahli keluarga, saudara-mara dan kawan lain yang mungkin enggan terlepas memberi penghormatan terakhir”

“Di pihak saya sendiri, ia tidaklah menjadi beban walaupun sejak pagi telefon berdering tanpa henti apabila masing-masing ingin mendapatkan kesahihan. Ada juga yang terpacul di depan pintu rumah. Alhamdulillah, saya masih diberikan peluang untuk terus bernafas, hari ini”

“Cuma, saya kasihan pada saudara-mara dari jauh yang sudah membeli tiket. Saya juga dimaklumkan, seorang ahli keluarga terdekat nyaris terkena serangan jantung kerana terkejut. Tolonglah, esok atau lusa kalau betul ada kematian, tiada siapa yang datang ziarah sebab takut tertipu,” ujarnya kepada Berita Harian.

Minggu lalu AR Badul telah dimasukkan Unit Rawatan Koronori (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) akibat serangan jantung namun keadaannya semakin baik selepas pembedahan pemasangan stent.

Beliau memaklumkan sudah dibenarkan keluar hospital sejak Rabu lalu dan kini berehat di kampung isterinya di Pahang. (rtky/m)