Aktiviti merokok ini sememangnya sudah sebati dalam beberapa kalangan dari kita malah ada yang sudah menjadi tabiat pun. Kalau tidak merokok boleh dikatakan hilang separuh nyawa, ye dak?
Seperti yang anda tahu lah, rokok adalah tembakau yang dibalut berbentuk silinder sama ada daripada kertas mahupun daripada pelbagai jenis daun berukuran antara 70mm hingga 120mm dengan diameter 10mm tetapi ianya berlainan mengikut negara.
Ini Elemen Yang Dinikmati Perokok
Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada hujung yang lain. Pembakaran ini menghasilkan satu campuran kompleks yang kita kenali sebagai asap.
Untuk info anda, asap rokok mengandungi rasa daripada campuran tembakau serta nikotin yang wujud secara semulajadi dari daun tembakau. Inilah elemen-elemen yang dinikmati oleh perokok.
Berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh PMI dalam menyokong penulisan artikel ini serta Ketua Penglibatan Saintifik di Amerika Latin dan Kanada, Dr. Andrea Constantini; kajian menunjukkan bahawa rokok menyala pada suhu 400 darjah Celsius dan membakar hingga ke 800 darjah Celsius apabila pembakaran rokok berlaku.
Suhu tinggi inilah yang mencetuskan penghasilan lebih daripada 6,000 bahan kimia.
Hampir 100 daripadanya berbahaya atau berpotensi berbahaya di mana ia adalah penyebab yang dikenalpasti atau berpotensi untuk menyebabkan penyakit berkaitan dengan merokok seperti kanser paru-paru, penyakit kardiovaskular dan emfisema.
Fuh, seramnya! Jadi, untuk tahu dengan lebih lanjut lagi tentang pembakaran rokok, jom baca dengan lebih lanjut info di bawah! Penting untuk anda ambil tahu yer.
Bahaya Asap Pembakaran
Secara umum, pendapat dan pandangan seseorang tentang proses pembakaran mungkin berbeza. Ada yang baik dan ada juga yang buruk.
Dengan pemanasan dunia disebabkan pemanasan global, banyak perbincangan berkisarkan topik pembakaran berlaku.
Contohnya kebakaran besar yang terus menghambat kawasan pantai barat Amerika Syarikat menyaksikan asap mulai merebak dan merentas ke seluruh negara itu sehingga ke seluruh Eropah. Ianya telah menimbulkan pendapat buruk tentang proses pembakaran.
Tetapi sebelum kebakaran mulai merebak akibat pemanasan global, terdapat pandangan yang baik mengenai kebakaran hutan di mana ia sebenarnya mempunyai manfaat ekologi yang signifikan dan merupakan sebahagian daripada alam semula jadi. (Sumber: LINK INI)
Namun begitu, lain pula dengan pembakaran rokok. Percaya atau tidak, pembakaran rokok melepaskan ribuan bahan kimia dan racun berbahaya ke udara dan juga ke paru-paru perokok.
Pembakaran Punca Utama Penyakit Akibat Merokok
Mungkin ada dari anda yang tidak tahu bahawa proses pembakaran melepaskan bahan kimia dan toksin berbahaya yang mempengaruhi perokok dan orang di sekeliling perokok.
Ia adalah berpunca daripada pembakaran rokok yang menghasilkan sisa-sisa karbon atau tar dan melepaskan karbon monoksida, dua toksin paling berbahaya yang dihasilkan dan dibebaskan ketika merokok.
Ramai yang percaya bahawa nikotin adalah bahagian rokok yang paling berbahaya, sedangkan proses pembakaran adalah yang paling berbahaya.
Nikotin menyebabkan ketagihan, tetapi bukan penyebab utama penyakit-penyakit akibat merokok. Jangan salah sangka yer.
Jadi macam mana nak singkirkan pembakaran asap dari merokok ini? Erm…
Ada Alternatif Lain
Kalau anda perasan, di pasaran sekarang, produk alternatif seperti vape, tembakau yang dipanaskan dan e-rokok adalah antara produk yang dikatakan kurang berisiko kepada penggunanya berbanding rokok.
Contohnya, peranti tembakau yang dipanaskan tanpa pembakaran.
Alternatif ini mampu memenuhi kepuasan dalam kalangan penggunanya malah dipercayai lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan rokok kerana produk-produk baharu ini tidak bergantung kepada prinsip pembakaran dan tidak menghasilkan asap.
Berdasarkan prinsip dipanaskan dan bukan dibakar (heat-not-burn), peranti tembakau yang dipanaskan ini cuma memanaskan tembakau untuk membebaskan nikotin dalam bentuk wap.
Ini adalah salah satu cara alternatif yang anda boleh gunakan untuk menyingkirkan pembakaran rokok.
Walaupun ianya tidak bebas daripada risiko, produk alternatif ini dikatakan pilihan yang lebih baik daripada terus merokok.
Namun begitu, pilihan terbaik bagi perokok adalah untuk berhenti merokok sepenuhnya atau bagi yang tidak merokok, janganlah mula merokok.