fbpx

Apa Usahawan & Peniaga Dapat Dari PEMULIH? Tahu Lebih Lanjut Di Sini

Seperti yang anda tahu, semua lapisan rakyat dan sektor ekonomi yang terjejas mendapat manfaat daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pakej ini juga dikatakan dirangka seiring dengan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dan untuk info anda, PEMULIH tidak hanya bertumpu kepada golongan tertentu sahaja seperti B40 atau peniaga kecil dan sederhana.

Kredit Imej: Harian Metro

Akan tetapi, pakej ini turut meliputi golongan M40 dan T20 serta sektor industri dan perniagaan yang lebih besar dengan tempoh manfaat enam bulan bermula Julai hingga Disember.

PEMULIH Sokong Perniagaan

Seperti yang diumumkan sebelum ini, fokus kedua dalam pakej PEMULIH ini ialah Menyokong Perniagaan.

Ye lah, kerajaan sedar bahawa fasa pertama dan kedua PPN, kebanyakan premis perniagaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Sebab itu kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan dalam kedua-dua fasa-fasa ini.

Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

GKP 4.0 Sokong Kelangsungan Perniagaan

Pelaksanaan Geran Khas Prihatin atau GKP telah berjaya menyokong kelangsungan perniagaan atau business survival dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi.

Dan secara keseluruhannya Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 6.1 bilion ringgit melalui inisiatif GKP.

Terkini, di bawah PEMERKASA Tambahan, penerima yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak 1 ribu ringgit dan sejumlah 500 ringgit lagi pada pertengahan Julai lepas.

Menyedari kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, Kerajaan bersetuju menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak 500 ringgit akan dibayar pada bulan September dan 500 ringgit lagi pada bulan November 2021.

Alhamdulilah! Anda dah boleh tersenyum lebar dengan bantuan yang disalurkan ini.

Muhyiddin Yassin juga turut mengharapkan menerusi bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik bengkel, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka, Insya-Allah.”

PSU 4.0 Memanfaatkan Lebih 2.5 Juta Pekerja

Sejak Program Subsidi Upah atau PSU diperkenal, Kerajaan telahpun membelanjakan lebih 15 bilion ringgit bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja.

Program ini mendapat respon positif. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Melalui inisiatif PSU 4.0, Kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak 600 ringgit setiap pekerja selama tempoh empat bulan.

Dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.

Sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan pada had gaji di bawah 4 ribu ringgit sahaja kan? Tapi di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih 4 ribu ringgit.

Pengecualian Levi HRD Corp

Bukan itu sahaja, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan turut diberikan secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP.

Majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini dianggarkan bernilai 425 juta ringgit.

Peluang Pekerjaan Diwujudkan

Sedarkah anda bahawa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih 243 ribu peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.

Di bawah Majlis Pekerjaan Negara atau NEC, Kerajaan akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri.

Melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO, Kerajaan juga menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan baharu.

Sehingga kini, sebanyak 170 juta ringgit telah disalurkan yang manfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja.

PenjanaKerjaya 3.0 telah ditambahbaikan, antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada 1,500 ringgit kepada 1,200 ringgit untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan.

Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan.

Program Shop Malaysia Online Diperkenalkan

Program Shop Malaysia Online yang diperkenal di bawah pakej PENJANA tahun lepas berjaya membantu lebih 200 ribu usahawan tempatan.

Kalau anda nak tahu, jualan melalui platform e-Dagang ini telah meningkatkan jualan dengan nilai transaksi mencecah 1.8 bilion ringgit.

PUPUK Dibangunkan

Bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan 200 juta ringgit untuk PMKS dan 100 juta ringgit untuk PKS.

Pertama

Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;

Kedua

Menambah peruntukan sebanyak 100 juta ringgit di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga 5 ribu ringgit untuk pembelian sistem atau langganan platform digital;

Ketiga

Menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM. Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasa untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital; dan

Keempat

Memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. Program ini akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan yang akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.

Diharapkan dengan bantuan yang diberikan kerajaan ini dapat membantu usahawan dan juga peniaga dalam perniagaan ketika ini!