fbpx

Apa SOP Anda Masa Naik Public Transport? Follow Ke Idok?

Tak semua orang suka menggunakan kenderaan awam untuk bergerak ke sana ke sini. Nak nak pulak musim COVID-19 tengah naik ‘taring’ sekarang ni kan. Tapi nak tak nak, ada orang yang terpaksa guna public transport ni untuk pergi bekerja. Katanya nak elakkan jem. Memang betul pun kan. Nak pulak duduk kat bandar, lagilah terasa!

Sembang punya sembang, kami nak tanya anda lah, apa SOP anda ye masa naik pengangkutan awam ni? Ye lah, kadang-kadang terlupa pulak yang COVID-19 tu masih ada. Bila dah lama dia ‘menetap’ kat sini, mulalah dah sebati dalam diri tu. AWAS ye gais, jangan sampai ia datang menghinggap!

Sentiasa Lakukan Pencegahan

Okay kalau anda orang bandar, memang stesen LRT dan MRT lah kawan sejati anda kan. Sejak kerajaan mula ‘bebaskan’ kita untuk naik kenderaan awam semasa PKPP sejak Jun haritu, memang ramai yang naik pengangkutan awam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak KKM/MKN semasa berada di dalam tren pengangkutan awam tu.

Syarikat pengendali pengangkutan awam bagi LRT dan MRT pun turut melaksanakan kawalan serta langkah-langkah pencegahan di setiap stesen yang berada di bawah seliaan syarikat mereka.

Kalau anda perasan, mereka telah menyediakan mesin pengimbas suhu automatik yang diletak di kaunter pengimbas kad bagi mengesan suhu penumpang sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam stesen untuk lebih cepat dan mudah. So takdelah bersesak dan menolak antara satu sama lain. Kang tersentuh kang bahaya pulak kan?

Tak lupa jugak untuk bas, kalau bagi bas ekspress, SOP yang sama juga mereka buat. Sentiasa bersihkan seat dalam bas, dan bila nak bagi penumpang naik tu, mereka akan mengimbas dulu suhu penumpang sebelum naik bas tu. Kalau melebihi 37.5 darjah celsius, memang ‘selamat tinggal romeo’ lah jawabnya. Jangan harap anda boleh guna public transport tu. Ini sebagai langkah berjaga-jaga!

Jangan dilupa, pemakaian pelitup muka juga adalah wajib kepada semua pekerja dan penumpang semasa berada di dalam sistem pengangkutan awam. Mereka juga akan menggunakan hand sanitizer!

Pelitup Muka ‘Wajib’ Pakai

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob selalu menasihati kita supaya ambil berat tentang pemakaian pelitup muka ni. Sebab tu lah kita diwajibkan memakainya di tempat awam bermula 1 Ogos haritu.

Beliau ada cakap, pelitup muka wajib dipakai semasa menaiki pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak. Yelah kalau anda tengok sekarang kes pun bukan biasa-biasa dan kalau tengok sekarang ni ramai yang semakin buat endah tak endah jer tentang pematuhan SOP termasuklah dalam pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan keretapi (KTM).

“Pengamalan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam oleh orang ramai juga tidak memuaskan. SOP di tempat awam yang bersesak, terutamanya yang tertutup juga didapati tidak diendahkan oleh segelintir pihak,” kata Paklong Mail kita.

Eh bukan Menteri Keselamatan kita jer yang risau tentang kita, geng Kementerian Kesihatan (KKM) terutamanya lagi risau dengan peningkatan kes sekarang ni. So why not dengan benda yang anda anggap kecil ni tapi anda disiplinkan diri untuk patuhinya.

SOP Yang Anda Perlu Buat

Haa.. cuba anda check, anda ikut ke tidak SOP ni? Jangan ambil sikap sambil lewa sebabnya kita masih lagi belum menang. Pelitup muka tu bukan saja-saja nak buat hiasan jer kat muka tu, tolonglah pakai betul-betul. Anda tak nampak bahaya yang mungkin boleh meragut nyawa anda! Gamaknya kalaulah wabak COVID-19 ni boleh nampak dengan mata kasar, dah ramai yang lari berkeliaran rasanya. Hmmm…

Meh usha apa yang anda perlu buat sebelum naik public transport!

1. Pemeriksaan suhu badan akan dibuat sebelum masuk pengangkutan awam. Penumpang dengan suhu lebih 37.5ºC tidak dibenarkan masuk.
2. Anda WAJIB memakai pelitup muka dan guna sanitasi tangan ketika di stesen pengangkutan awam.
3. Anda digalakkan memuat turun dan guna aplikasi mobil MySejahtera, dan imbas kod QR disediakan.
4. Anda golongan orang kurang upaya (OKU) yang perlukan bantuan khas akan diberikan keutamaan.
5. Anda dinasihatkan rancang waktu perjalanan, terutama waktu puncak.
6. Anda digalakkan guna transaksi tanpa tunai seperti pas bulanan dan kad Touch n’ Go.
7. Minimumkan pergaulan ketika berada di stesen dan dalam tren.
8. Jaga jarak sosial di stesen dan juga dalam tren. #Kitajagakita

Sama-sama Hentikan COVID-19!

Anda kena ingat, hero-hero kita sedang berjuang di barisan hadapan. Mereka bukan hanya letih bertugas tau tapi terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit. Kalau anda tengok mereka ni memang betul-betul bersemangat menentang COVID-19.

Hero barisan hadapan kita terus bekerja keras untuk anda semua, kenapa tidak anda? Jom sama-sama kita bantu dan bersama meringankan beban mereka dengan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Stay at home. Kalau tak penting, tak payah nak menggatal keluar rumah okay! Bersama kita putuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Malaysia masih lagi belum menang! Sentiasa pastikan jaga jarak sosial, pakai pelitup muka, kerap cuci tangan dan pakai hand sanitizer!

Kalau anda nak tahu lebih lanjut tentang info sihat berkaitan COVID-19, klik DI SINI.