Keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan Datuk Seri Najib Razak tidak akan mengubah pendirian kerajaan untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip negara hukum yang menjadi pegangan kerajaan kekal dan semua kes rasuah, termasuk yang masih membabitkan bekas Perdana Menteri itu, perlu diteruskan mengikut proses undang-undang.

“Tapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik.

“Selain daripada itu, saya nak tegaskan, prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat, ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Keputusan itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) selepas diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sebagai Perdana Menteri menjalankan tanggungjawab memberi nasihat mengenai implikasi undang-undang, kestabilan negara serta prinsip negara hukum selain mengikuti nasihat dan panduan Peguam Negara.

Katanya, kerajaan akan terus memastikan kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa melalui proses undang-undang tanpa mengira individu yang terbabit.

“Begitu juga kes-kes lain dalam soal rasuah. Negara ini mesti diselamatkan dan kita perlu ketegasan serta dukungan semua rakyat dalam menentukan ini negara hukum.

“Negara ini tidak lagi anggap ringan apa-apa salah laku ataupun salah guna kuasa untuk memperkayakan mana-mana pemimpin atau mana-mana rakyat. Ini pendirian kita,” katanya.

Sementara itu, UMNO akan melancarkan kutipan dana bagi membantu meringankan beban Najib untuk melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan sebagai syarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut menyeru kepemimpinan, ahli dan penyokong UMNO serta mereka yang mahu memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela.

Ahmad Zahid dalam masa sama berkata, beliau bersama seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib.

“Saya menyeru seluruh ahli UMNO agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.

“UMNO juga dengan ini mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan Tabung Sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Seri Mohd Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan,” katanya.

KREDIT GAMBAR: BERNAMA

×