Gencatan senjata tanpa syarat yang dicapai serta merta oleh Thailand dan Kemboja dalam konflik sempadan mereka adalah hasil strategi diplomasi Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN yang melibatkan China dan Amerika Syarikat (AS) secara terkawal dalam rundingan.
Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, taktik Perdana Menteri itu amat tepat kerana dua negara kuasa besar dunia tersebut tidak boleh disisihkan kerana mereka mempunyai pengaruh besar terhadap Thailand dan Kemboja.
Namun begitu katanya, wakil China dan AS tidak diberi peranan utama dalam perundingan berkenaan yang diketuai oleh Malaysia yang juga Pengerusi ASEAN sebagai pemudah cara.
“Saya rasa kelebihan paling penting kepada kejayaan (gencatan senjata) ini ialah Anwar mempergunakan China dan AS kerana kedua-dua kuasa besar ini menunggu masa untuk masuk campur.
“Sebelum mereka sempat masuk campur, Perdana Menteri kita ‘campur tangan’ terlebih dahulu. Ini taktik dan strategi Anwar.
“Kita tahu China dan AS mempunyai pengaruh besar terhadap kedua-dua negara itu, jadi tidak boleh disisihkan mereka.
“Kerana itu Perdana Menteri memanggil mereka tetapi ‘duduk jauh-jauh’ di belakang semasa perbincangan. Yang mengawal ‘driver seat’ ialah Perdana Menteri Malaysia. Ini yang dikatakan sebagai kejayaan tidak diduga yang diperoleh dalam rundingan tersebut,” katanya kepada Rotikaya.

Mengulas lanjut, Dr. Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR) berkata, strategi Perdana Menteri itu menjadi satu batu asas dan rujukan kepada ASEAN dalam menangani permasalahan melibatkan negara anggotanya.
Katanya, Anwar memberi tauladan bahawa masalah dalaman negara anggota perlu ditangani di peringkat ASEAN terlebih dahulu sebelum melibatkan orang luar iaitu negara kuasa besar.
“Isu Myanmar umpamanya kita cuba selesaikan secara dalaman. Begitu juga isu Laut China Selatan kita cuba selesaikan secara dalaman tetapi ASEAN itu perlu berada di ‘driver seat’ terutamanya Pengerusi ASEAN itu sendiri.
“Itu pengajaran asas yang diletakkan Perdana Menteri (kepada negara anggota ASEAN),” tegasnya.
Sementara itu, Dr. Azmi menegaskan Anwar perlu diberi kredit dalam penyelesaian konflik Thailand-Kemboja yang telah menarik minat bukan sahaja Presiden AS, Donald Trump bahkan media-media antarabangsa.

Katanya, hal ini kerana konflik berkenaan merupakan permasalahan yang kompleks sehingga ramai yang tidak menjangka gencatan senjata tanpa syarat boleh dicapai dalam masa yang singkat.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, sejak hari pertama pertempuran tercetus lagi Anwar dikatakan cuba menghubungi Perdana Menteri kedua-dua negara yang bertelingkah supaya berunding.
“Dan pada hari ketiga beliau sudah berjaya mendapat persetujuan kedua-dua negara. Trump cuma masuk campur pada hari keempat.
“Jadi, Pengerusi ASEAN telah meletakkan asas dalam hal rundingan yang perlu dilakukan,” tegasnya.
Katanya, turut menjadi penyumbang ialah reputasi Malaysia yang boleh berlalu adil sebagai pemudah cara dalam pelbagai isu kompleks di rantau ini.
“Paling utama adalah tentang pembentukan Wilayah Bangsa Moro, Malaysia adalah pemudah caranya. Isu pemberontakan Aceh, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam hal ini.
“Terkini Malaysia adalah pemudah cara antara Bangkok dengan pejuang Islam di Selatan Thailand,” jelasnya.
Pada Isnin, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.
Sesi itu turut disertai oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Anwar pada minggu lalu mencadangkan satu perjanjian damai antara kedua-dua pihak susulan konflik sempadan yang tercetus baru-baru ini.
Ketegangan mula meningkat sejak insiden pada 28 Mei apabila pasukan tentera Kemboja dan Thailand bertempur di kawasan Preah Vihear.
Selama beberapa dekad, kedua-dua negara anggota ASEAN itu terbabit dalam pertikaian berpanjangan berkaitan sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum dimuktamadkan.
Namun, situasi bertukar menjadi konflik berdarah di utara Kemboja minggu lalu.