Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak perundangan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan dan orang ramai tidak sepatutnya menaruh syak wasangka atau membuat tafsiran sendiri berkenaan motif Perdana Menteri.
Peguam daripada Fides Lawyers, Melbourne, Vicknaraj Thanarajah berkata, hal ini kerana prinsip utama kedaulatan undang-undang ialah semua warganegara tanpa mengira status mempunyai hak sama rata di bawah undang-undang dan di hadapan mahkamah.
Katanya, apabila sudah dirujuk ke mahkamah, hanya hakim yang berhak membuat tafsiran dan keputusan, bukannya mana-mana pihak yang tidak berkaitan.
“Kita kena hormati sesiapa sahaja yang membawa isu undang-undang ini ke atas, sama ada dia Perdana Menteri atau rakyat biasa sebagaimana kita menghormati kedudukan hakim untuk menghakimi isu ini.
“Ini adalah prinsip utama kedaulatan undang-undang. Jika kita hendak syak wasangka tentang niat Anwar membawa isu ini, kita sebenarnya tiada hak untuk syak wasangka kerana kita bukan hakim.
“Siapa hakim dia? Hakim dia bukan wartawan, bukan pengulas politik dan bukan ahli politik berusia 100 tahun. Hakim dia duduk dalam mahkamah,” katanya kepada Rotikaya.

Vicknaraj Thanarajah
Vicknaraj yang mempunyai kebenaran sah untuk menjalankan amalan guaman di Malaysia, Australia dan United Kingdom (UK) berkata, tiada masalah untuk pasukan guaman Perdana Menteri menguji tahap undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk diputuskan oleh hakim.
Katanya, peguam Anwar mungkin ada strategi dan pendapat tersendiri dan semua peguam mempunyai hak di bawah Akta Profesion Guaman 1976 (Akta 166) untuk memberi pandangan guaman selepas pertimbangan teliti terhadap undang-undang dan fakta kes.
“Ada pengulas yang kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah cuba mendapatkan jenis kekebalan yang sama tetapi gagal.
“Ya…tapi Najib Razak masih Perdana Menteri sewaktu dakwaan itu berlaku. Dalam kes Anwar dakwaan itu berlaku sebelum beliau jadi Perdana Menteri.
“Najib pula menghadapi pendakwaan sewaktu sudah tidak menjadi Perdana Menteri manakala Anwar sekarang adalah Perdana Menteri. Senario 2018 (kes Najib) adalah berbeza dengan sekarang (kes Anwar),” katanya.
Berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan Anwar, Vicknaraj berkata ia menunjukkan sistem kehakiman dan mahkamah Malaysia adalah bebas dan tidak tunduk kepada sesiapa sahaja.
Anwar pula katanya, mempunyai hak untuk membuat rayuan kerana perkara itu dijamin di bawah Perlembagaan dan merupakan proses biasa perundangan.
“Ini menunjukkan sistem kehakiman kita di bawah naungan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak tunduk kepada eksekutif, tidak tunduk kepada Parlimen dan sesiapa sahaja.
“Kalau raja salah, kita cakap salah. Sebab ini undang-undang kita dan kita mesti menghormati dan menyanjungi Perlembagan Persekutuan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kes membabitkan Anwar juga merupakan penanda aras baharu sistem kehakiman negara kerana ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa dirujuk kepada mahkamah.
Selama ini, kita hanya menyaksikan pemimpin politik yang sudah hilang kuasa dihadapkan ke mahkamah, katanya.
“Anda tengok kes besar-besar, selalunya hanya orang politik yang telah dilucutkan daripada kerusi kuasa mereka dibawa ke mahkamah.
“Sistem sekarang lain, ahli politik nombor satu yang duduk di kerusi terulung kepemimpinan negara hendak diheret ke mahkamah. Ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia.
“Adakah Tun Mahathir pernah dibawa ke mahkamah ke dalam kandang saksi sewaktu dia Perdana Menteri? Adakah Najib Razak pernah dibuat sebegitu? Tak pernah. Malah Zahid Hamidi pun tak pernah,” tegasnya.

Anwar Ibrahim menjelaskan beliau bukan mahukan kekebalan peribadi atau mengelak daripada undang-undang.
Minggu lepas, Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya Muhammad Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Anwar turut memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas sebagai ketua eksekutif negara, selain melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin Perlembagaan.
Dalam satu kenyataan segera selepas permohonannya ditolak, Anwar berkata beliau tetap menghormati kedaulatan undang-undang dan akan membuat rayuan.
Beliau turut menjelaskan bukan mahu mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada undang-undang apabila membuat permohonan itu.
“Ia melibatkan kewibawaan sistem perlembagaan negara serta keperluan untuk memastikan jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam dilindungi daripada tindakan litigasi yang mungkin bersifat taktikal, bermotifkan politik atau mengganggu kestabilan institusi,” katanya.
Terdahulu Pejabat Peguam Negara pada 14 Januari 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat pendakwaan jenayah terhadap Anwar kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.