Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) sekali lagi berjaya membuktikan satu penanda aras acara terbesar bukan saja bagi TV3 tetapi bagi sesebuah produksi dan acara hiburan di Malaysia apabila berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 4.2 juta (20 TVR) atau 65% (sumber: Nielsen Audience Measurement). Secara pukal, kadar tontonan keseluruhan AJL 27 telah mencipta rekod dengan tontonan mencecah sebanyak 6 juta.

Bukan sahaja di kaca televisyen, AJL 27 juga dipancarkan menerusi laman web rasmi www.anugerahjuaralagu.com di mana penonton disajikan dengan siaran keseluruhan majlis anugerah serta kandungan eksklusif seperti acara Purple Carpet dan Di Sebalik Tabir.


Jumlah tontonan secara live streaming mencecah hampir 225,000 dengan Malaysia sebagai penyumbang utama kepada jumlah tontonan sebanyak 108,356, diikuti negara-negara lain seperti Singapura (8,057), United Kingdom (3,461), Jepun (1,828) dan Brunei (1,661).


Di laman sosial media Twitter, #AJL27, #Ramli Sarip dan #Azlan and the Typewriter merupakan tiga kata kunci tertinggi pada malam itu. Sebanyak 149,593 tweets telah dikongsi menggunakan kata kunci #AJL27 dan #AJL.

AJL 27 membawa satu dimensi baru dalam penganjurannya setelah memberi satu impak maksimum melalui persembahan pentas selain komitmen finalis yang membawakan lagu-lagu mereka dengan identiti, pemfokusan dan kreativiti masing masing.



Tahun ini juga memperlihatkan antara penganjuran terbaik membawa konsep berlainan bersempena dengan ulangtahunnya yang ke-27, tema “Ekspresi Seni” dipilih sebagai menerapkan perkembangan dan perjalanan arus muzik dan irama terutamanya di dalam industri tempatan di kemuncak acara gemilang ini.

Tuah kali ini berpihak kepada penghibur dan komposer muda berbakat yang kini giat melebarkan sayap di luar negara, Yunalis Zarai, 27 tahun atau lebih mesra dikenali sebagai Yuna, di mana lagu ciptaan beliau sepenuhnya berjaya muncul sebagai Juara AJL 27. Menariknya, tempat Yuna telah diganti oleh juara AJL 24, Aizat Amdan dan kemenangan ini juga telah memecahkan tradisi di mana buat pertama kalinya lagu yang dibawakan oleh penyanyi pengganti berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM35,000!

Malam kemuncak AJL 27 menampilkan gandingan pengacara popular yang tidak asing lagi iaitu Cheryl Samad dan Faizal Ismail yang menjadi nadi penggerak mewarnai majlis gilang-gemilang ini. Manakala sidang produksi Anugerah Juara Lagu 27 diketuai oleh Muhamad Sufian Che Isa selaku Pengurus Projek dan Khalijah Mohamed (Kelly) bertindak sebagai Penerbit Eksekutif serta turut dibantu dua Penerbit iaitu Hamsiah Biri dan Tengku Sahilawati Tengku Jehori. Selain Xpax sebagai penaja rasmi, AJL 27 turut menampilkan Hot FM selaku radio rasmi. Layari laman web rasmi www.anugerahjuaralagu.com untuk maklumat lanjut.