Belanjawan 2023 sudah diumumkan, tapi itulah kadang-kadang sebagai manusia ni kita tidak boleh nak ingat satu persatu pun apa yang Perdana Menteri kita bentangkan. Ye lah kalau tanya sarapan pagi hari ini pun mesti ada yang lupa kan? hehe.
Anda masih ingat lagi tak peruntukan yang diberikan kerajaan untuk sektor pendidikan? Jom ambil tahu peruntukan yang diberikan kerajaan bagi Sektor Pengajian Tinggi.
Peruntukan bagi Kementerian Tinggi Pendidikan adalah berjumlah RM15.3 bilion, peruntukan lebih tinggi iaitu peningkatan 5.7 peratus menerusi Belanjawan 2023 berbanding tahun sebelumnya iaitu RM14.5 bilion.
Tetapi bukan itu sahaja, sebenarnya kerajaan juga menjalankan pelbagai inisiatif bersama kementerian yang lain. Memang terbaik!
Jadi, apakah inisiatif-inisiatif tersebut? Mari kita lihat sama-sama.
1. Membaiki infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di IPTA. Hal ini memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan di IPTA berada dalam keadaan yang kondusif, selamat serta berfungsi dengan efisien, barulah pelajar dapat belajar dengan lebih tenang dan baik.
2. Dana untuk menambah baik sambungan Internet di institusi pendidikan tinggi di Malaysia di bawah Malaysian Research & Education Network (MYREN). Hal ini bagi menjamin keberkesanan pelajar IPTA dalam menuntut ilmu! Barulah bersemangat sikit kan?
3. Mempromosikan aktiviti R&D di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
4. Kemudahan pendidikan untuk anak Bumiputera.
5. Menaik taraf dan menyelenggara kemudahan universiti awam.
6. Kerajaan akan berkoordinasi dengan syarikat multinasional untuk menyediakan latihan amali dan peluang pelajar dibenarkan berkhidmat dengan mereka di negara pemegang biasiswa. Pelajar juga dibenarkan menyempurnakan bon perkhidmatan mereka dengan syarikat berkenaan (untuk sarjana tempatan belajar di luar negara)
7. Penyeragaman kadar duti setem untuk pinjaman pendidikan.
8. Diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus.
Selain itu, permohonan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan yang telah bermula 1 Mac 2023 sehingga 31 Mei 2023.
9. Kerajaan memperuntukkan RM6.7 bilion di bawah tujuh kementerian utama yang melaksanakan pelbagai inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Antaranya RM180 juta disediakan sebagai Dana Latihan TVET kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, bagi menyediakan pinjaman untuk manfaat 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran Malaysia.
Kerajaan juga akan meneruskan program Sistem Latihan Dual Nasional dengan peruntukan RM50 juta untuk manfaat 8,000 pelatih.
10. Fokus Pertama Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) adalah Kesejahteraan Rakyat. Ia akan dilaksanakan melalui tiga (3) Strategi iaitu:
– Memelihara Kebajikan Rakyat
– Mengutamakan Keluarga Malaysia
– Membina Kehidupan Kondusif
Untuk info lanjut anda boleh ke Laman Rasmi Belanjawan 2023 Manfaat bagi memudahkan anda semak manfaat setiap inisiatif disini. Sangat mudah dan membantu tau! Anda search apa jer info berkaitan, nanti terus akan pop-up di depan skrin laptop atau smartphone anda.