Baru saja menimang cahaya mata sulung kini berusia dua bulan, anak kepada pelakon Nazrief Nazri yang digelar Noah itu disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dikongsikan oleh isteri Nazrief iaitu Aizatul Aqma menerusi satu entri di Insta Story. Kata Aqma lagi hanya anaknya sahaja positif, manakala dia dan suaminya negatif virus berkenaan.

BACA: Elak Penyakit Ain, Nazrief Nazri Enggan Kongsi Wajah & Nama Anak

Aqma berkata Noah hanya mengalami gejala berkahak sebelum disahkan positif wabak tersebut. Malah, anaknya itu tidak meragam mahupun menangis.

Sementara itu, dalam satu perkongsian lain, Aqma sempat berpesan kepada petugas kesihatan supaya sentiasa mematuhi SOP supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

“Doakan Noah cepat sihat ya. Lepas tu nak pesan, nurse kalau nak jalankan tugasan tolong ikut SOP. Saya faham nurse geram dengan Noah, tapi situasi sekarang bukan masa untuk geram dan gomol baby sesuka hati,” tulisnya.

Nazrief dan Aqma telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 15 November 2019. Pasangan itu menimang cahaya mata sulung mereka pada 19 Julai lalu.