Gurauan pelakon Datin Elvina Mohamad dikecam netizen, malah ada pihak mengugut mahu membuat laporan polis susulan tindakannya memuat naik foto tangan dan kaki anaknya diikat menggunakan pita pelekat.
Enggan memanjangkan perkara berkenaan memandangkan isu itu sudah berlaku minggu lalu, Elvina berkata dia tidak pernah terdetik untuk menganiaya anak sendiri dan menasihati netizen supaya bertenang.
BACA: Netizen Ugut Lapor Polis, Elvina Nafi Dera Anak
“Nasihat saya kepada sebahagian netizen yang kecoh mengenai anak saya, apa kata mereka berlapang dada dan bertenang. Takkan saya mahu menganiaya anak sendiri? Dalam gambar itu Karl tak menangis pun.
“Karl pandai beli jiwa kami yang ketika itu gundah kerana bapa mentua dimasukkan ke hospital dengan buat muka comel apabila diperlakukan sedemikian.
“Karl manja dengan ibu dan bapa saudara dia. Sewaktu menemani dan menziarahi bapa mentua, ibu dan bapa saudara Karl mengusik dengan melekatkan pita pelekat di tangan dan kakinya.
“Kalau benar apa yang dilakukan itu menganiaya anak saya, pasti kakitangan hospital akan tegur,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, Elvina berterima kasih kepada netizen yang prihatin dan bersusah payah membuat aduan kerana itu tandanya mereka sayangkan anaknya.
“Sejuk hati saya bila tahu ramai sayangkan Karl. Nasihat saya kalau sayang pun tak perlulah bersikap keterlaluan kerana saya dan suami tahu apa yang terbaik untuk anak kami. Anak lelaki kena kasar sikit bila bergurau,” katanya.