fbpx

“Anak Ditutup Mulut Dengan Kain, Ditampar & Disepak”

Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya dicederakan dan menjadi mangsa buli. Penyanyi Ani Mayuni tidak dapat tidur malam mengenangkan nasib anak perempuannya yang dibuli oleh sekumpulan pelajar.

Anak sulungnya, 14, yang bersekolah asrama di Titiwangsa, Kuala Lumpur itu turut didera gara-gara enggan menceritakan kisah peribadinya. Menceritakan semula bagaimana anaknnya didera, Ani memberitahu mulut anaknya ditutup dengan kain, ditampar dan disepak berulang kali.

BACA: Penyanyi Dangdut, Ani Mayuni Buat Laporan Polis Dibelasah Suami Sendiri Di Rumah

“Saya tidak boleh tidur malam apabila mengenangkan keadaan anak yang ditutup mulut dengan kain dan ditampar serta disepak berulang kali oleh beberapa pelajar senior. Andai sesuatu buruk terjadi kepadanya pada malam kejadian, saya tidak akan maafkan mereka.

Menurut Ani Mayuni, melihatkan anaknya banyak mendiamkan diri, dia mengetahui ada perkara yang disembunyikan. Selepas dipujuk, barulah anaknya menceritakan apa yang berlaku. Ujarnya lagi, seramai lapan orang pelajar senior terlibat dalam kes buli tersebut.

“Selepas beberapa kali memujuk berkongsi masalah yang dihadapi, barulah dia buka mulut. Dia memberitahu ada lapan pelajar senior mahu mengetahui mengapa ibu dan bapa saudaranya datang ke sekolah.

“Apabila dia enggan bercerita, pelajar senior itu mengugut mahu memukulnya. Takut dengan ugutan itu dia pun bercerita tetapi pelajar senior itu masih tidak berpuas hati dan mempercayainya. Mereka menendang dan menumbuk pinggang anak saya, menampar muka serta pukul dada.

“Luluh hati saya ketika melihat badan anak penuh dengan kesan lebam. Tergamak mereka buat begitu hanya kerana tidak puas hati,” katanya kepada Harian Metro.

Lebih memilukan, mulut anaknya ditutup dengan kain bagi mengelakkan warden mendengar jeritannya.

“Apabila Wirda menangis kesakitan, mereka menutup mulutnya dengan kain. Sebagai ibu, saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan dia ketika itu.

Dalam pada itu, Ani memaklumkan dia sudah membuat laporan di Balai Polis Setapak dan mendapatkan laporan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu. Doktor yang merawat anaknya mengesahkan ada lebam di badan dan pinggangnya mengalami kecederaan.