Anak Bongsu Ayu Raudhah Meninggal Dunia Dalam Tidur

 

Anak bongsu kepada pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak terkenal, Zaquan Adha iaitu Muhammad Aisy Al Rees meninggal dunia ketika tidur kira-kira jam 1 petang tadi.

Memetik Harian Metro, pemergian anak ketujuh pasangan itu yang baru berusia enam bulan dimaklumkan kakak kepada Ayu yang juga pelakon Rozita Che Wan.

BACA: Ayu Raudhah Hamil Anak Ke-7, Bakal Bersalin Bulan Julai

“Arwah meninggal kira-kira jam 1 petang tadi di rumah mereka di Seremban.

“Jenazah ketika ini berada di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Saya dimaklumkan arwah meninggal ketika tidur dan tidak mengalami sebarang sakit,” katanya.

Sebelum ini, perkongsian Zaquan mengejutkan ramai apabila memaklumkan berita pemergian anak bongsunya.

“Salam semua, anak bongsu kami Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada pencipta-Nya sebentar tadi. Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” tulisnya.

Untuk rekod, anak lelaki kepada pasangan itu yang diberi nama Aisy Al Raees dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu.

SUMBER: Harian Metro