fbpx

“Anak Abam Sudah Mula Tercari-Cari Bapanya”

Sudah empat hari pemergian Allahyarham Abam Bocey, adik kepada Abam iaitu Ali Puteh berkata anak arwah abangnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan sudah mula tercari-cari bapanya.

Menurut Ali, anak abangnya itu lebih banyak diam dan tidak meragam. Malah, kakak iparnya yang juga balu arwah, Siti Nurhidayah Mohd Ali juga banyak mendiamkan diri.

BACA: “Kematian Abam Dalam Khusnul Khatimah” – Imam Muda Hassan

“Anak arwah sudah mula tercari-cari bapanya. Sudah hari keempat, kakak ipar lebih banyak diam. Begitu juga dengan anaknya yang tidak meragam. Dia sama macam Abam yang banyak diam.

“Cuma, dia sudah mulai tercari-cari sebab sampai sekarang rumah sentiasa dipenuhi orang menziarah. Dari pagi sampai malam. Mungkin dia pun hairan kenapa setiap hari ramai orang. Tapi, disebabkan dia masih kecil jadi tidak tahu apa yang berlaku,” katanya kepada Harian Metro.

Ali turut berkongsikan pesanan terakhir yang diterima daripada arwah supaya menjaga ibunya yang kini tidak sihat dan terpaksa berkerusi roda. Seminggu sebelum pemergiannya arwah ada memberitahu ibunya bahawa jiwanya kosong.

“Arwah pergi mengejut tanpa sebarang pesan. Namun, minggu lalu dia ada cakap kepada emak yang jiwanya kosong dan tidak fikir apa-apa lagi. Dia juga pesan kepada emak dan sampaikan pada saya supaya banyak rehat. Jangan terlalu penat bekerja.

“Malah, minggu lalu juga dalam kumpulan Whatsapp keluarga, dia mengatakan sekarang giliran saya menjaga emak pula. Jangan lupa bagi emak makan ubat. Saya jawab, okay dan tidak ada masalah. Kebetulan emak sudah sebulan tinggal di rumah saya,” katanya.