fbpx

Setelah beberapa minggu berada di dalam persaingan akhirnya Tisha, protégé kepada Ferhad bangkit dengan persembahan yang mantap dan bertenaga.

Tisha memungut 150 markah terkumpul dari konsert pertama hingga ketiga ketinggalan empat mata di belakang protégé Ramlah Ram, Ana Syuhada ternyata bangkit memberi saingan sengit seterusnya dinobatkan sebagai juara mingguan konsert Mentor turut melayakkan diri ke final.

Mengiringi Anas Ridzuan, protégé kepada Faizal Tahir ke final Mentor, kesungguhan Tisha dapat dilihat melalui persembahan yang jauh berbeza dari konsert mingguan sebelumnya.

Ternyata segala pengajaran yang diberi oleh mentornya membuahkan hasil yang memberangsangkan. Sungguhpun begitu, sedikit penurunan kepada prestasi persembahan Anas Ridzuan. Walaupun tersingkir, Ana Syuhada mempamerkan persembahan yang memuaskan.

Komen secara keseluruhan juri professional, Datuk Haji Ramli M.S dan Datuk Sharifah Aini lebih menjurus kepada Tisha di atas kebangkitan yang begitu memberansangkan.

Pemahaman Tisha terhadap vokal dan kehendak muzik semasa ternyata membuahkan hasil kepada Tisha. Namun begitu, Anas Ridzuan diberi teguran agar tidak terus selesa dengan kedudukan markah yang tinggi diperolehinya. Undian SMS yang diterima Anas Ridzuan juga menurun memberi petunjuk bahawa Anas perlu melakukan sesuatu demi mengembalikan kepercayaan terhadap kebolehannya.

Ketika sidang media selepas konsert, kami sempat menemu-bual Ana Syuhada protégé Ramlah Ram yang tersingkir berkaitan penyingkirannya. Bukanlah pengakhiran perjuangannya di dalam bidang seni walaupun Ana Syuhada tersingkir dan tidak layak ke final.

Ana Syuhada menerima penyingkiran ini dengan hati yang terbuka. Mentor Ana Syuhada, Ramlah Ram berpendapat mungkin bukan rezeki berpihak kepada mereka untuk meneruskan perjuangan sehingga ke final Mentor. Beliau sedia membantu Ana Syuhada sekiranya diperlukan walaupun program Mentor bakal melabuhkan tirai kelak.

Tahniah kami ucapkan kepada Anas Ridzuan dan Tisha kerana melayakkan diri ke final Mentor. Buat Ana Syuhada, teruskan usaha anda dan jangan mudah putus asa memperjuangkan hasil seni kelak. Kepada protégé kumpulan B, giliran anda akan tiba pada konsert minggu hadapan.

Pamerkan persembahan yang mantap buat peminat di luar sana. Siapakah yang bakal layak ke final dari kumpulan B? Siapa pula yang bakal tersingkir? Sama-sama kita nantikan.