Pelakon Amyra Rosly mendedahkan berlaku pendarahan kerana mengangkat barangan berat baru-baru ini serta menafikan dirinya kini hamil.
Memetik BH Online, Amyra berkata pendarahan tersebut berlaku disebabkan masalah hormon dan doktor memberitahu ianya tiada kaitan dengan kehamilan.
BACA: Amyra Rosli Reda Amar Baharin Bakal Tinggalkan Keluarga 3 Bulan
Menurut Amyra lagi, kejadian tersebut berlaku selepas beberapa hari suaminya, Amar Baharin bertolak dari misi berbasikal ke Mekah serta sekali lagi menegaskan dirinya tidak hamil.
“Awalnya keadaan kelihatan seolah-olah menuju ke arah itu (hamil). Saya mengalami sedikit pendarahan. Apabila berjumpa doktor, saya dimaklumkan pendarahan mungkin disebabkan ketidakseimbangan hormon.
“Pendarahan memang tidak serius. Doktor sendiri menegaskan ia tiada berkaitan dengan kandungan atau kehamilan yang aktif. Sebenarnya, ia mungkin petanda kepada kehamilan tidak menjadi. Doktor tidak dapat memberikan jawapan pasti, tetapi syukur, ia bukan sesuatu yang serius,” katanya.
Sementara itu, Amyra berkata dia tidak membuat pemeriksaan susulan berikutan pendarahan tidak lagi berlaku selepas mengambil ubat serta mengakui hairan kerana tempoh haid belum tiba lagi.
“Pendarahan berlaku selama lebih kurang lima hari sahaja. Ia berlaku selepas saya mengangkat bebanan, tetapi bukanlah bebanan berat sekadar mendukung anak.
“Yang membuat saya berasa hairan, ia bukan pendarahan haid kerana tempoh haid saya belum tiba. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.
“Menurut doktor, situasi ini boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya keletihan melampau atau ketidakseimbangan hormon,” katanya.
SUMBER: BH Online