Hasrat penyanyi Amir UK’s untuk menunaikan ibadah haji tidak kesampaian apabila menjadi antara 82 jemaah haji dipercayai ditipu dengan pakej tajaan penuh secara percuma menerusi Visa Mujamalah.
Memetik Astro Awani, Amir meluahkan rasa kesal apabila terkandas di KLIA pada 1 Jun lalu selepas terpedaya kononnya pakej tersebut dibiayai seorang hartawan yang tidak mahu dikenali.
Menurut Amir lagi, jemaah dikhabarkan akan berlepas dengan pesawat khas namun tiada pihak yang datang mahupun visa diserahkan kepada mereka.
“Namun apa yang berlaku hanyalah penantian panjang tanpa jawapan, surat tawaran dihantar, kursus diatur, suntikan diambil.
“Malah dikhabarkan bakal berlepas dari Kompleks Bunga Raya KLIA dengan pesawat khas tetapi sehingga subuh, apa yang dijanjikan, tiada siapa datang, tiada pasport dan visa diserah.
“Surat tawaran oleh agensi pelancongan itu ada, disertakan tarikh, ada butiran penerbangan. Kami tunggu di KLIA jam 5 petang pada 1 Jun tapi tiada siapa datang. Hanya kami hadir sebab yang lain sudah lihat WhatsApp, ada mesej terkini katanya ditangguhkan.
“Keesokan malam, diminta tunggu lagi, katanya penerbangan sekitar 4 pagi pada 3 Jun, ramai hadir tapi akhirnya semua hampa,” katanya.
Dalam pada itu, Amir berkata mereka hanya menyedari ditipu apabila tiada seorang wakil agensi berkenaan hadir di KLIA dan tidak boleh komen di WhatsApp group.
“Tak boleh komen. Hanya admin boleh buat hantaran. Kalau nak tanya, mesej peribadi. Kami ikut sahaja sebab semua ini tajaan. Kami tidak mahu banyak soal, sebab ini tajaan orang, segan kalau terlalu banyak soalan.
“Sebenarnya, kawan isteri saya yang beritahu peluang ni. Katanya ini rezeki ada orang nak tolong. Jadi kami pun fikir, mungkin ini peluang yang Tuhan bagi, agensi ini juga katanya sah sebab itu saya yakin dan tidak rasa ini penipuan,” katanya.
Difahamkan, Amir sudah pun membuat laporan polis pada 3 Jun lalu di Balai Polis KLIA untuk tindakan lanjut dan setakat ini polis menerima tujuh laporan berhubung isu jemaah haji terkandas.
SUMBER:Harian Metro, Astro Awani