fbpx

Amelia Henderson Tak Perlu Bayar RM200,000, A.Aida Putih Mata

Pelakon Amelia Henderson berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production susulan isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Memetik BH Online, Persuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon dalam rayuan.

BACA: Amelia Henderson Tak Pandai Masak, Aedy Ashraf Tampil Back Up

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Amelia perlu membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah 5 peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini.

Terdahulu, Amelia telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd pada 18 April lalu.

Antara alasan utama dalam rayuan itu, adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil sebelum ini. Pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Penghakiman di Mahkamah Sesyen itu mengatakan mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Selain itu, Penghakiman mahkamah juga mendapati Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu “Aira” di mana Amelia adalah heroin dalam drama tersebut.