fbpx

“Ameera Belum Berhijab Penuh, Masih Dalam Fasa Melatih Diri” – Ibu

Ibu kepada selebriti dan usahawan popular, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini mengakui anak perempuannya Ameera Khan yang juga personaliti media sosial masih belum berhijab penuh.

Memetik BH Online, Kartini berkata anaknya itu masih dalam proses memperbaiki diri serta meminta agar mendoakan yang baik-baik sahaja untuk Ameera.

BACA: Kongsi Gambar Freehair, Ameera Khan Dah Tak Bertudung?

“Jika tengok Ameera, dia bukan bertudung penuh. Dia masih pakai topi, ikat rambut dan sebagainya. Maksudnya, Ameera masih dalam fasa melatih dirinya.

“Jadi, saya rasa lebih kita mendoakan yang baik-baik sebab perkara baik akan berbalik kepada kita juga, insya-Allah,” katanya.

Sering berdepan dengan kata-kata negatif netizen mengenai anak-anaknya, bagaimanapun Kartini meluahkan rasa syukur anak-anaknya tidak melakukan perkara tidak baik.

“Saya bersyukur, boleh dikatakan tiada satu pun anak-anak saya orang nampak berada di kelab malam, minum, mabuk dan merokok. Semuanya tiada.

“Kalau ikutkan dengan cara kehidupan di ibu kota ini, banyak benda lebih teruk. Tetapi, Alhamdulillah, kita duduk di sekeliling keluarga.

“Ameera lebih banyak keluar dengan adik-beradiknya, kecuali acara membabitkan jenama besar yang menjemputnya hadir seorang diri,” katanya.

Dalam pada itu, Kartini berkata dia tidak tertekan terkena tempias populariti anak-anaknya serta mengambil pendekatan untuk tidak mengambil tahu komen negatif netizen.

“Saya kena kuat menghadapinya dengan baik. Saya tidak tertekan sebab kami sekeluarga tidak mengambil tahu mengenai komen negatif. Jika orang beritahu pun, kami gelak sahaja.

“Sebab ramai menghantar mesej langsung kepada kami dan minta maaf kerana pernah mengata. Saya hanya ucapkan Alhamdulillah, Allah bukakan hati mereka. Manusia tiada yang sempurna, jadi apabila mendoakan perkara baik-baik, baik juga kita akan dapat,” katanya.