fbpx

“Allah Dah Bagi Macam-Macam, Kenapa Saya Tak Nak Tutup Aurat?”

Tampil berhijab pada Maal Hijrah lalu, pandemik Covid-19 melanda dunia mengubah kehidupan pelakon Farah Nabila untuk berhijrah ke arah lebih baik.

Farah berkata sepanjang menjalani tempoh berkurung di rumah, dia mengkui jiwanya berasa kosong. Ujarnya, pandemik berlaku juga membuatkan dia lebih dekat dengan Yang Maha Esa.

BACA: Farah Nabilah Berhijab Penuh, Peminat Doa Semoga Istiqamah

“Sebenarnya dah lama nak pakai tudung, tapi mungkin Allah tak gerakkan hati lagi waktu itu. Sebelum Covid-19, kita selalu sibuk dengan kerja, sampaikan kadang-kadang terlepas atau tak sempat solat.

“Jadi bila duduk di rumah, rasa kosong dan seperti ada hilang sesuatu. Saya rasa, inilah juga yang dirasai ramai selebriti lain yang mengalami kekosongan itu iaitu Allah. Covid-19 sebenarnya membuatkan kita lebih dekat dengan Dia,” katanya.

Berkongsikan mengenai penghijrahannya di IG Live bersama Tya Ariffin, Farah berkata hatinya dijentik selepas menyedari dirinya tidak mengikut perintah Tuhan namun banyak nikmat rezeki diberikan.

“Tuhan dah bagi macam-macam. Rezeki cukup, dapat kahwin dan ada anak. Dapat semua yang didoakan. Jadi kenapa saya tak nak tutup aurat dan ikut suruhan Dia? Padahal Tuhan dah bagi macam-macam.

“Sebab itu saya ambil keputusan berhijab kerana dari situ, lebih mendekatkan saya kepada-Nya. Bila dah berubah, saya pun jadi takut nak buat jahat, mengumpat dan dosa-dosa lain. Kalau ada rasa takut dalam hati, kita patut bersyukur, sebab kalau tiada, itu bahaya,” katanya.