Pempengaruh media sosial Alif Teega didakwa hari ini atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infaq iftar dan korban, berjumlah RM63,605.48.
Mengikut pertuduhan pertama, Aliff didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin di CIMB Bank, KL Gateway, di sini pada 26 April lalu.
BACA: “Mana Dapat Cerita Tu?” – Alif Teega Tak Tahu Isteri Fail Perceraian
Sementara pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program ‘Jom! sertai infaq daging Qurban’ di bank sama, 15 Jun lalu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memohon jaminan dikenakan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
“Kami mencadangkan dia dikenakan syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali setiap bulan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Mohd Shahrullah Khan merayu ikat jamin itu dikurangkan kepada RM10,000 sahaja memandangkan harta anak guamnya telah dibekukan oleh pihak SPRM.
Setelah mendengar permohonan kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwa.
SUMBER: Sinar Harian