fbpx

Aliff Syukri Minta Maaf, Padam Video Lagu Raya Menggeletis

Selepas ditegur secara terbuka oleh ibunya, Bonda Rozita, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri tampil membuat permohonan maaf susulan teaser muzik videonya yang menimbulkan rasa kurang senang netizen.

Menerusi video dikongsikan di Instagram, Aliff berkata dia telah pun memadam teaser muzik video berkenaan dan turut memohon maaf andainya video tersebut dianggap keterlaluan.

BACA: “10 Malam Terakhir Lailatul Qadar Kamu Lancar Video Lagu Tak Berakhlak” – Bonda Rozita

Menurut Aliff lagi, dia mengakui berkecil hati dengan reaksi negatif diterimanya apatah lagi dia sudah mengeluarkan kos yang besar untuk lagu dan muzik video berkenaan.

“Kepada mak saya dan semua netizen yang melihat video saya tu, saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki

“Memang saya kecil hati. Saya dah buat susah-susah, saya dah puluhan ribu ribu untuk penari, videographer semua..Tapi netizen tak tengok lagi dah kecam melampau-lampau dan itu menyebabkan saya sedih.

“Tak nak bersedih, saya salahkan diri saya. Saya dah delete video tu… padahal ramai yang buat video pelik-pelik di luar sana tapi tak jadi isu,” katanya.

Terdahulu, Bonda Rozita menegur anaknya itu secara terbuka serta meminta anaknya memadam klip video yang dimuat naik sebelum ini.

Rozita turut meluahkan rasa kesal pada 10 malam terakhir Ramadan anaknya mahu melancarkan muzik video lagu yang disifatkan tidak berakhlak.