fbpx

Alif Satar Tolak Lakon Babak Mesra, Bukan Berlagak Alim

Selebriti serba boleh, Alif Satar berkata dia mempratikkan prinsip enggan melakukan adegan mesra atau intim dengan mana-mana pelakon wanita.

Memetik Kosmo, Alif berkata dia bukan berlagak alim sebaliknya menjaga statusnya sebagai suami dan bapa serta mengikut syariat Islam.

BACA: Wanita Kutuk Isteri Alif Satar Tak Lawa

“Saya memang mempraktikkan perkara ini dalam kerjaya sebagai seorang pelakon iaitu elak daripada melakonkan babak mesra atau intim. Perkara itu bukan saja-saja saya lakukan tetapi kerana saya seorang Muslim, suami dan ada anak-anak,” katanya.

Alif berkata dia mengakui cabaran untuk melakonkan babak mesra namun dia akan tetap menjaga batas atau dengan berlapik jika melibatkan babak bersentuhan.

“Contohnya, ada babak malam pertama dalam drama Risik Pada Hati baru-baru ini, kami tidaklah lakukan aksi tidak senonoh, hanya beri salam. Sekadar simbolik.

“Penonton drama sekarang ada yang sangat islamik dan mereka sedar batas. Jika mereka kata kurang elok, elakkan daripada melakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Alif berpendapat setiap pelakon mempunyai cara dan pendirian mereka sendiri namun perlu memikirkan kesan selepas melakukan babak mesra berkenaan.

“Bila cakap begini, orang akan cakap acah-acah alim tetapi ini yang saya praktikkan. Selalunya, saya akan berbincang dengan pelakon lain bagaimana untuk menjayakan babak tersebut.

“Apapun, setiap pelakon mempunyai cara tersendiri dan ikutlah keselesaaan masing masing. Saya pun tak mahu ulas panjang mengenai hal ini,” katanya.