fbpx

Alif Satar Tenteramkan Hati Dengan Baca Al-Quran

Pelakon dan pengacara Alif Satar disahkan positif Covid-19 semalam, isterinya Sha Dila Halid, berkata ketakutan yang selama ini tiada siapa ingin melaluinya akhirnya terjadi jua.

Redha dan pasrah di atas apa yang berlaku, bagaimanapun Sha Dila memberitahu dia tidak dapat menahan air mata apabila melihat ketiga-tiga anaknya perlu melalui ujian saringan dan berharap mereka bebas dari wabak tersebut.

BACA: Rakan Artis Buat Ujian Saringan, Alif Satar Tak Putus-Putus Mohon Maaf

Sha berkata dia dan anak-anak sudah pun melakukan ujian saringan di kediamannya, jam 9.30 pagi, hari ini dan perlu menunggu selama 24 jam untuk mengetahui keputusan.

“Saya minta jauh dari dijangkiti Covid-19, selama ini. Satu pengalaman yang saya percaya semua orang enggan melaluinya, tetapi akhirnya datang juga. Saya hanya reda dan pasrah. Jauh di lubuk hati, saya mengharapkan keputusan yang diperoleh menyebelahi saya dan anak-anak.

“Saya menitiskan air mata melihat tiga cahaya mata perlu melalui ujian swab. Anak sulung agak okay dan hanya terkejut apabila melakukan ujian calitan pada bahagian hidung dan mulut.

“Anak kedua mulanya agak takut, tetapi berjaya ditenteramkan. Anak bongsu pula hanya menangis sekejap, kemudiannya kembali tenang,” katanya.

Dalam pada itu, Sha berkata suaminya yang kini menjalani kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka berada dalam keadaan tenang dan banyak membaca Al-Quran serta melakukan aktiviti berfaedah.

“Saya tahu emosi dan fikiran Alif terganggu, namun dia tak mahu larut dengan perasaan dan kegelisahan hati. Alif cuba alih perasaan tidak tenteram dengan bersenam, membaca al-Quran dan pelbagai aktiviti lain. Dalam masa sama, Alif juga bimbangkan keadaan saya dan anak-anak.

“Jika ikutkan, Alif nak minta dipindahkan ke pusat perubatan di Sungai Buloh, tetapi doktor tidak membenarkan. Saya tak putus berdoa supaya suami terus kuat dan sembuh secepat mungkin,” katanya.