fbpx

Alif Satar Menangis Terlalu Rindu Anak-Anak

Sudah masuk enam hari menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Melaka selepas disahkan positif COVID-19 sejak Ahad lalu, Alif Satar akui sangat rindukan anak-anaknya.

Pelakon dan penyanyi itu juga mengakui menangis setiap kali panggilan video kepada isteri, Shadila Hadid dan tiga anak iaitu Alisha Anugerah, 5; Ariana Mecca, 3; dan Muhammad Ali, 1, yang kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

BACA: Alif Satar Hilang Deria Bau, Ibu & Ayah Sudah Bebas COVID-19

“Sebelum ke Melaka untuk menjalani penggambaran, saya sempat cium anak-anak ketika mereka masih tidur. Jadi, sejak ditahan di sini setiap hari saya membuat panggilan video isteri dan anak-anak.

“Setiap kali bercakap dengan mereka saya akan menangis. Saya sangat rindukan mereka. Malah, sebelum keputusan ujian saringan mereka keluar, saya tidak boleh tidur mengenangkan nasib mereka.

“Banyak yang bermain difikiran ketika itu. Alhamdulillah, berkat doa semua peminat dan orang ramai, mereka disahkan negatif. Itu sedikit melegakan saya,” katanya.

Berkongsi pengalaman sebagai pesakit COVID-19, Alif berkata ujian tersebut membuatkan dia lebih menghargai nikmat kesihatan dan paling penting sentiasa berjaga-jaga.

“Sekarang ini negara kita sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul di semua tempat. Tinggal saja kita yang kena lebih berjaga-jaga.

“Cuma, apa yang paling utama saya nak pesan adalah ini masa untuk kita semua menjaga kesihatan. Saya bersyukur kerana bukan perokok, jadi paru-paru semua okay.

“Sebab ini soalan pertama ditanya ketika buat pemeriksaan. Bukan apa, apabila ada penyakit, lebih lambat nak sembuh. SOP adalah normal baharu kita hari ini, tapi sekarang paling penting kena jaga kesihatan,” katanya.