Bakal mencetuskan fenomena tidak lama lagi, drama yang diadaptasikan daripada novel Red Velvet sudah ada pengikutnya, malah peminat sudah pun mewujudkan hashtag #Alofa di laman sosial gabungan dua pelakon drama tersebut iaitu Alif Satar dan Neelofa.

BACA: “Saya Tak Sedap Hati Naik Satu Pesawat Dengan Neelofa”

Bertemu hero drama tersebut, Alif Satar ketika Majlis Tayangan Memori Pajeri Nanas, dia berkata tidak kisah akan perkara tersebut kerana baginya itu adalah hak peminat.

“Ala itu adalah peminat, kita tak dapat hentikan mereka. Neelofa ada 4.2 juta pengikut, kita boleh ikut sesiapa sahaja yang kita mahu. Tak ada maksud apa-apa pun. Dulu Lofattah, itu hanyalah hashtag. Alhamdulillah apa yang saya buat orang akan hargai karakter bukan personal saya seperti mana drama Dia Semanis Honey.

“Orang bercakap pasal produk bukan nak bercerita pasal saya. Jadi saya tidak ada isu, nak letak letaklah,” katanya tenang. Alif turut berkata isterinya turut memberikan sokongan dan tidak melatah mengenai isu ini.

“Isteri saya ok. Dia seorang yang sangat positif, dan ceria. Setiap minggu nak pergi Naelofar Butik sebab dia suka benda yang cantik. Ini semua rezeki dan saya gembira,” ujarnya.

Bagaimanapun, Alif tetap berasa teruja untuk bergandingan bersama Neelofa dan tidak pernah kisah dengan kontroversi yang melanda pelakon itu sebelum ini. Baginya kerja haruslah profesional.

“Saya teruja nak buat dengan Neelofa sebab dia seorang yang berjaya, berdikari, dan apa sahaja perkara yang berlaku kontroversi ke sebelum ini, saya tak kisah kerana dia seorang yang bersemangat dalam kerjayanya,” katanya lagi. (rtky/h)