fbpx

Menceburkan diri ke dunia perniagaan pembekalan ayam mentah bersama jenama Red Grocer, pelawak Ali Puteh menegaskan apa yang dilakukannya itu bukan untuk membayar wang yang diperintahkan oleh mahkamah terhadap bekas kakak iparnya, Siti Nor Hidayah.

Memetik Utusan Online, Ali berkata dia sedar pasti akan ada mulut-mulut negatif yang akan membuat cerita dan perkara itu perlu dijelaskan olehnya.

BACA: Ali Puteh Tak Kisah Dihentam, Netizen Tak Tahu Hal Sebenar

“Saya baru sahaja menjalin usahasama sebagai duta untuk jenama Red Grocer. Dalam masa yang sama turut menggalas tugas sebagai rakan kongsi.

“Saya tahu, akan ada yang cakap kini mula berniaga sebab nak bayar duit itu tetapi bila fikir-fikir semula, netizen memang akan sentiasa bercakap pun.

“Saya memilih untuk senyum sahaja berkata terima kasih. Saya nak fokus pada kerja dan perniagaan ini saja. Saya tak kerja untuk bayar duit itu, tidak ada kaitan. Fokus berniaga ini lebih kepada fardu kifayah,” katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata tindakannya mengorak langkah dalam dunia perniagaan itu bukanlah penamat dalam kerjaya seninya.

“Saya ini berpegang kepada pendirian untuk terus maju ke depan dalam apa sahaja yang saya lakukan. Begitu juga bila sebut tentang industri. Berniaga bukan bermakna saya akan mematikan kerja-kerja seni saya.

“Jika masih diberi peluang untuk bermain di gelanggang seni, saya akan bermain. Saya dengan Mamak pun tak pernah membubarkan kumpulan Puteh.

“Hal ini sudah dibincangkan awal-awal. Kalau membabitkan kerja-kerja untuk Kumpulan Puteh, kami akan bergerak sama. Kalau untuk kerjaya solo, masing-masing akan menghormati jalan masing-masing,” katanya.

Pada 18 Februari 2022, balu kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Nor Hidayah Mohd Ali menang kes saman fitnah dan Ali Puteh diperintah membayar ganti rugi RM60,000 kepada bekas kakak iparnya.