fbpx

“Alhamdulillah, Sekarang Duduk Di Hospital Makin Sihat”

Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman memaklumkan dia merasakan dirinya semakin sihat sejak menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Memetik Astro Awani, Yasin meluahkan rasa syukur keadaanya kini semakin sihat berbanding ketika dipenjara dirinya sakit.

BACA: Yasin Sulaiman Sempat Cipta 13 Lagu Dalam Penjara

“Alhamdulillah, kalau dekat penjara dulu saya sakit. Sekarang duduk di hospital makin sihat, malah ubat, makan dan tidur semuanya cukup,” katanya.

Sementara itu, Yasin berharap kes rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah di Mahkamah Tinggi berakhir dengan cepat.

“Saya harap kes (rayuan) berjalan lancar dan pantas supaya berakhir dengan cepat. Prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sudah selesai.

“Cuma dibawa ke Mahkamah Tinggi (kerana pendakwaan membuat rayuan), saya ikut prosedur,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Jun ini untuk pengurusan kes seterusnya berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan penyanyi itu oleh Mahkamah Sesyen, tahun lalu.

Pada 29 November lalu, mahkamah membebaskan penyanyi dan komposer berusia 49 tahun itu atas tiga tuduhan kes dadah.

Bagaimanapun, Yasin diarahkan untk ditempatkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor.

SUMBER: Astro Awani