fbpx

Alami Tekanan Mental, Hafiz Hamidun Jumpa Pakar Jiwa

Sebelum ini, penyanyi nasyid Hafiz Hamidun dilihat seperti tidak mahu kongsikan tentang kemelut perkahwinannya yang dihadapi tahun lalu, namun dia mendedahkan sejarah tersebut cukup mengganggu emosinya sehingga merasakan dirinya bagai separuh gila.

Menurut Hafiz, krisis rumah tangga dengan bekas isterinya, Joy Revfa, menyebabkan berat badannya turun mendadak, malah dia mendakwa tidak mampu melelapkan mata, hilang selera makan dan alami depresi selama enam bulan sehingga terpaksa meminta bantuan pakar untuk mententeramkan jiwa.

BACA: Nyaris Jadi Gila, Hafiz Hamidun Tak Serik Kahwin

“Saya hanya manusia biasa dan memerlukan bantuan psikologi. Saya bukannya orang bijak pandai yang tahu semua perkara. Alhamdulillah, ramai yang membantu saya bertemu beberapa pakar supaya lebih tenang dan tidak berputus asa dengan ujian yang menimpa.

“Saya tidak mahu menjadi manusia yang berputus asa sehingga menjejaskan kesihatan. Bagi saya, tidak semestinya dalam keadaan salah, kita tidak boleh memperbetulkan kesilapan. Itulah juga pelajaran yang saya terima. Dan, tidak selamanya kita betul dan orang lain salah,” katanya kepada BH Online.

Katanya lagi, ramai yang mengatakan bahawa dia tidak terkesan dengan kemelut perkahwinannya itu, namun mereka tidak tahu apa yang dihadapi olehnya yang bukan saja menyebabkan mengalami tekanan mental, malah kerjaya dan perniagaannya turut terganggu.

“Siapa kata saya tidak terkesan dengan apa yang berlaku? Orang tuduh saya suami enam hari, tidak mampu memberikan nafkah batin, tak bertanggungjawab dan lebih buruk, dituduh sebagai golongan ‘kunyit’.

“Kesan buruknya bukan saja pada jiwa, tetapi kerjaya dan perniagaan. Saya mengambil masa selama enam bulan untuk menghilangkan tekanan mental dan fizikal. Lebih beri tekanan, banyak tawaran projek terbatal pada saat akhir. Saya tahu, kebanyakan penganjur menghormati masalah saya hadapi, tetapi soal kerjaya dan peribadi tiada hubung kait. Saya terima dan reda dengan ujian Allah ini,” katanya.

Bagaimanapun Hafiz memberitahu dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk bercinta lagi dan tetap mempunyai keinginan untuk berkeluarga serta memiliki anak suatu hari nanti.