fbpx

Al-Sultan Abdullah Suka KFC, Gemar Tonton Filem Hindustan

Hari ini seluruh rakyat negara Malaysia merafak sembah setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah sangat sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat serta berjiwa rakyat.

Disaat negara dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, rata-rata rakyat cukup terkejut apabila Al-Sultan Abdullah berkenan turun padang ke lokasi sekatan jalan raya di ibu negara.

Bukan kerana COVID-19 tetapi Al-Sultan Abdullah memang cukup gemar meluangkan masa bersama rakyat jelata setiap kali berpeluang berbuat demikian.

Sebelum ini juga, baginda secara bersahaja pernah beberapa kali berhenti di tepi jalan untuk membeli kuih-muih di gerai dan membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Malah, Tuanku sendiri pernah bertitah bahawa Baginda selalu menganggap dirinya sebagai rakyat dan akan melakukan perkara yang membolehkannya untuk berada lebih dekat dengan rakyat.

“Saya selalu anggap (diri) sebagai rakyat, saya tak menganggap (diri) sebagai Raja. Protokol tu ada, tetapi saya tak boleh kaku sangat. Kerana itu, secara spontan saya akan buat apa yang boleh mendekatkan saya dengan rakyat.

“Yang mana boleh turun padang, boleh dekat dengan rakyat, bersalam dengan rakyat, bercakap dengan rakyat, saya akan buat. Sorry (maaf) la (bahagian) protokol, saya akan buat,” titah baginda.

Bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, pasti ramai ingin tahu beberapa fakta menarik mengenai Baginda.

Baginda meminati genre R&B dan menggemari penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Lionel Richie. Selain itu, antara penyanyi tempatan kegemarannya adalah Dahlan Zainuddin, Datuk Jamal Abdillah dan Ameng (Spring).

Al-Sultan Abdullah berkata sekiranya tidak bergelar seorang Raja, sejak muda lagi baginda ingin bergelar seorang tentera kerana tugas itu mendorong disiplin tinggi dalam diri serta uniformnya membuatkan diri Baginda berasa bangga.

Kelab bola sepak kegemaraan Baginda adalah Arsenal dan Al-Sultan Abdullah merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan bahkan telah aktif semenjak kecil lagi dalam sukan hoki dan bola sepak.

Al-Sultan Abdullah menggemari masakan ikan dan sotong termasuk masak taucu, gulai tempoyak patin, ayam masak kicap, ayam serta ikan bawal golek.

Rasanya yang ini pasti ramai yang tahu, Baginda menyukai makanan barat seperti burger dan Kentucky Fried Chicken (KFC).

Jangan terkejut, Baginda gemar menonton filem Hindustan dan mendedahkan sudah menonton Sangam sebanyak lima kali manakala Kuch Kuch Hota Hai sebanyak empat kali. Al-Sultan Abdullah juga gemar filem bertemakan peperangan termasuk terbitan tempatan iaitu Paskal.