fbpx

Aktiviti Bola Sepak Dibenarkan Mulai 15 Julai Ini

Selepas terpaksa berehat panjang susulan wabak COVID-19, aktiviti bola sepak kembali boleh dilangsungkan semula bermula 15 Julai depan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengusaha-pengusaha padang komersil dan operator gelanggang futsal serta fasiliti sukan dan akademi juga turut dibenarkan beroperasi pada tarikh tersebut.

Bagaimanapun sepak mula pertandingan berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti Liga Super dan Liga Premier hanya dibenarkan beraksi bermula pada 15 Ogos depan.

Ismail Sabri berkata tempoh perbezaan sebulan yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu bertujuan memberikan sedikit masa kepada penganjur saingan liga, Malaysian Football League (MFL) untuk membuat perancangan dan persiapan rapi dalam segenap aspek yang diperlukan.

Selain daripada pelbagai Prosedur Standard Operasi (SOP) yang perlu dipatuhi setiap pasukan, pertandingan tersebut akan diadakan tanpa kehadiran penonton seperti yang dipraktikkan hampir semua liga di Eropah yang kembali bersambung, katanya.

Selain bola sepak, kejohanan sukan berpasukan seperti ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang, skuasy juga dibenarkan dilangsungkan semula bermula tarikh yang sama.

Ismail Sabri berkata sebarang penganjuran kejohanan dan pertandingan hanya terhad kepada acara atau kejohanan tempatan sahaja, tanpa penonton dan tidak melibatkan ‘mass gathering’ peserta.

Tegasnya penganjuran acara antarabangsa yang melibatkan peserta dari luar negara masih tidak dibenarkan.