fbpx

Baru-baru ini perkongsian pelakon Zul Ariffin mengundang kecaman ramai apabila mendukung seorang wanita bertudung bagi mempromosikan satu produk.

Malah, ada yang mengaitkan mengenai dirinya yang sering menghadiri kelas agama bersama pendakwah popular, Ebit Lew yang menjadi tular di media sosial.

BACA: Zul Ariffin Anggap Kecaman Seperti Sarapan Pagi

Jelas Zul, dia tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengenai pembabitannya dalam dakwah serta tidak pernah mengatakan dia tidak akan berlakon mendukung wanita.

“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengatakan saya tidak akan berlakon mendukung wanita atau akan berserban ketika berlakon.

“Saya hanya mengikut seorang individu itu, menyertai ceramah agama dan makan bersama. Namun, ada pihak yang mengeksplotasi perkara itu sehingga menimbulkan salah faham,” katanya.

Dalam pada itu, Zul berkata aksinya mendukung dan memegang tangan pengasas produk itu iaitu Farah Abdul Aziz berlaku secara spontan.

“Semuanya berlaku secara spontan, kami tidak merancang untuk menggunakan aksi dukung dan pegang tangan sebagai jalan cerita. Namun, ketika hari penggambaran semuanya berlaku secara bersahaja dan kami menyukai hasilnya.

“Ini adalah dunia bisnes, publisiti tetap publisiti. Malah, saya juga menyukai produk bengkung yang banyak membantu saya bersenam di gimnasium. Jadi, saya juga tidak mengambil masa lama untuk bersetuju.

“Senang bekerjasama dengan mereka dan saya juga menyukai produk bengkung yang dikeluarkan. Semestinya, saya mahukan sesuatu yang berkualiti kerana turut menggunakan nama saya sebagai duta,” katanya.