fbpx

“Akim Banyak Bimbing Saya, Dulu Saya Seperti Tiada Agama”

Sudah enam tahun bergelar mualaf, penyanyi Stacy Anam mengakui kehidupannya dahulu seperti tiada agam sehinggalah dia bertemu dengan suaminya, Akim Ahmad.

Menurut Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah, tidak mungkin dapat lupakan detik bermakna apabila dia mengambil keputusan untuk mengucap kalimah syahadah pada 24 Ogos 2015.

BACA: Akim Ahmad Bengang Model Vietnam Tuduh Stacy Cemburu

“Dulu sebelum memeluk Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengar.

“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati dorong untuk tahu apa itu Islam. Pendekatan digunakan Akim sangat mudah, malah cara dia bercerita tentang agama Islam nampak ringan dan terus terang,” katanya.

Kata Stacy lagi, ketulusan Akim membimbingnya ke jalan Allah bukan sekadar menjentik hatinya untuk memeluk Islam malah turut membuka ruang menerima lelaki berkenaan sebagai teman hidupnya.

“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pada 26 September 2015 kami bertunang, seterusnya 5 Februari 2016 kami nikah di sebuah hotel di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Stacy berkata lebih indah apabika keputusannya untuk memeluk agama Islam turut mendapat sokongan kedua ibu bapanya yang sanggup terbang dari Sabah untuk berada di sisinya ketika mengucap kalimah syahadah.

“Saya rasa momen pengIslaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka. Awalnya hanya mereka saja tahu keputusan saya memeluk Islam.

“Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Jadi apabila gambar dan video viral, keadaan bertukar kecoh. Tetapi Akim minta saya banyak-banyak bersabar dan bertenang,” katanya.