Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty bersetuju untuk berjumpa dengan pempengaruh, Imran Bard bagi menyelesaikan kemelut berlaku antara mereka.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Ellie berkata pertemuan itu akan diadakan sebaik sahaja Imran pulang ke Kuala Lumpur, memandangkan dia kini berada di kampung.
BACA: Imran Bard Menyesal, Minta Maaf Kepada Ellie Suriaty
“Saya setuju dengan permintaan Imran untuk berjumpa namun sekarang dia masih berada di kampung. Insya-Allah perjumpaan kami akan diadakan sekembalinya dia ke Kuala Lumpur nanti,” tulisnya.
Sementara itu, Ellie berkata pertemuan itu bakal menjadi penentu sama ada dia akan meneruskan saman terhadap pempengaruh itu atau sebaliknya.
“Ingin saya tegaskan sesi pertemuan ini akan menjadi penentu sama ada saya akan meneruskan proses saman atau sebaliknya. Ia bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf Imran terhadap saya,” katanya.
Terdahulu, Ellie meminta ibu bapa Imran membuat permohonan maaf susulan tindakan pempengaruh itu yang didakwa telah mencalar namanya menerusi video di TikTok.
Ellie berkata dia kecewa dengan tindakan Imran yang didakwa mempermainkan nama baik dan mengaitkan dirinya dengan penyalahgunaan dadah biarpun ianya hanya video parodi.