Boleh dikatakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, ramai yang terjejas pendapatan kerana tidak boleh keluar bekerja seperti kebiasannya termasuklah penggiat seni apabila segala aktiviti hiburan terpaksa dihentikan.
Tidak hanya berpeluk tubuh, Aiman Tino berkata dia mencuba pelbagai bidang perniagaan untuk menambah sumber pendapatan termasuklah menjalankan perniagaan air minuman berperisa buah mangga, Aimango.
BACA: Aiman Tino Dakwa ‘Terperangkap’ Disaman Ingkar PKPB
“Buat masa ini saya memang tak ada persembahan. Kalau ada pun hanya hadiri jemputan program televisyen dan sebagainya sahaja
“Dah alang-alang tak ada buat apa-apa di rumah, saya pun cubalah pelbagai perniagaan dan terbaharu air minuman berperisa buah mangga. Bolehlah untuk tambah-tambah sumber pendapatan,” katanya kepada mStar Online.
Air minumannya itu mula diperkenalkan sejak Isnin lalu, Aiman berkata sambutan yang diterima sangat luar biasa. Malah, katanya lagi dia tidak malu mengakui minuman itu disediakan sendiri olehnya dan juga bertindak sebagai ‘runner’.
“Air ini memang saya sendiri yang buat dan saya juga yang akan hantar kepada pembeli. Memandangkan sejak kecil saya memang minat niaga, jadi tiada rasa malu untuk turun padang jumpa pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Aiman berkata apabila keadaan negara sudah kembali pulih, perniagaan air mangganya itu akan tetap diteruskan dan merancang untuk menambah lagi perisa lain serta perbanyakkan lagi ejen jualan.