Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Menurut titah yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib sudah dipenuhi dan sebarang hujah mempertikaikannya menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.
“Selanjutnya, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan bahawa Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat iaitu sekiranya Dato’ Sri Mohd Najib membayar denda RM50 juta.
“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong,” menurut titah berkenaan.
Titah itu turut menegaskan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang kekaburan serta tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain yang dihadapinya.
“Perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.
“Tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan,” menurut titah itu.
Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sudah meneliti petisyen Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara itu kemudian memberikan nasihat sewajarnya kepada Sultan Ibrahim sebelum perintah pengampunan bersyarat berkenaan diperkenankan.
Titah itu turut menjelaskan kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Semalam, media melaporkan UMNO mengesahkan segala proses pembayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada sebelah pagi sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian dilaporkan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan bersyarat itu.
Menurut AGC, terdapat dua interpretasi yang memerlukan penelitian lanjut, khususnya sama ada pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda atau membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya terhadap hukuman bagi kes SRC International.