Semakin mencipta nama di pentas antarabangsa, penyanyi Agnez Mo dinobat sebagai selebriti paling kaya di Indonesia dengan jumlah harta mencecah 450 bilion Rupiah (RM12.7 juta).
Jumlah kekayaannya itu adalah hasil kerja kerasnya yang memulakan karier seni seawal usia 6 tahun menerusi muzik dan juga sebagai pengacara.
Bukan sahaja hasil daripada karier seni, penyanyi lagu Matahariku itu juga turut menjalankan perniagaan sendiri dalam industri fesyen dan makanan.
Selebriti berusia 34 tahun itu juga tidak hanya menumpukan dalam bidang nyanyian malah turut melibatkan diri dalam bidang lakonan.
Tidak hanya menempa nama di Indonesia, Agnez atau nama sebenarnya Agnes Monica Muljoto juga pernah bekerjasama dengan beberapa bintang dunia terkenal antaranya Timbaland dan Chris Brown.
Dalam pada itu, peminat turut menyifatkan Agnez seorang selebriti yang merendah diri dan tidak mempamerkan kekayaan kepada umum.