fbpx

Afgan “Pesan Cinta” Buat Kekasihnya

“LIVE TO LOVE, LOVE TO LIVE” itulah simboliknya tajuk album ketiga Afgan yang baru sahaja dilancarkan pada Selasa kelmarin yang bertempat di The Venue, Pavillion Kuala Lumpur.

Pada Majlis tersebut Afgan menceritakan bahawa sebelum ini dia pernah jatuh hati kepada seseorang wanita ketika menuntut di sekolah tinggi dan pada hari ini dia menyampaikan lagu yang dipetik dari album terbarunya ini yang berjudul ‘Pesan Cinta’ yang istimewanya lagu ini merupakan hasil ciptaannya sendiri.

“Sebenarnya maksud ‘Pesan Cinta’ ini mengisahkan seorang lelaki yang telah jatuh hati ‘pandang pertama’ pada seorang gadis yang pertama kali bertemu dan selepas itu lelaki tersebut berusaha mencari jalan atau idea untuk bertemu dengan gadis itu, sekaligus memikat gadis tersebut. Sedikit sebanyak lagu ini merupakan pengalaman saya yang lepas, yang ingin berkenalan bersama dengan seorang perempuan ketika bersama-sama menuntut di sekolah tinggi. Walaubagaimana pun, ketika itu saya seorang yang pemalu dan saya tidak dapat untuk meneruskan rancangan saya untuk berkenalan dengannya,” ujar Afgan sambil berseloroh.

Afgan yang ditanya juga mengakui bahawa dia mahu bercinta tetapi buat masa sekarang biarlah dia fokus kepada kerjaya seninya dan pelajarannya yang hanya tinggal satu semester sahaja lagi sebelum tamat pengajian.

“Saya mahu bercinta tetapi biarlah saya tamatkan dahulu pengajian saya dan juga apabila kerjaya seni saya kukuh dan berjalan dengan lancar,” katanya.

Turut diakui bahawa dia sangat rapat dengan penyanyi Rossa dan menganggap beliau sebagai teman dan kakak yang boleh memberikan tunjuk ajar buat dirinya.

Ini terbukti apabila dia memilih label Suria Records atau SRC untuk menjadi syarikat pengedar bagi albumnya yang ketiga ini.

“Saya memang rapat dengan penyanyi Rossa yang sudah saya anggap seperti kakak dan teman yang boleh membimbing dan memberikan tunjuk ajar dalam karier seni saya ini. Buat pengetahuan semua, kenapa saya memilih Suria Records atau SRC untuk menjadi label saya di Malaysia ini kerana ternyata Syarikat ini sangat bagus dan pernah menjadi label buat album Rossa di Malaysia dan ini sudah dijelaskan oleh Rossa dan dia sendiri menasihati dan menyuruh saya untuk memilih SRC sebagai label saya di Malaysia ini,” kata Afgan.

Buat peminat Afgan, jangan lupa untuk mendapatkannya yang original di pasaran yang berdekatan dengan anda.