fbpx

Afdlin Shauki Terkenangkan Allahyarham Harun Salim Bachik

Pelakon dan pelawak Afdlin Shauki berkata dia terkenang Allahyarham Harun Salim Bachik kerana sebelum ini mereka berdua bersama menjayakan slot pementasan Lawak Ke Der tetapi pada musim ke-4 ini dia melakukannya secara solo ataupun stand-up comedy.

“Saya sebelum ini masuk ke bilik itu tempat di mana saya duduk dengan Abang Harun. Tadi saya masuk pun macam teringatkan dia, sehingga saya minta tukar ke bilik lain di mana bilik itu tempat kami bersama untuk ‘make-up’, pakai kostum dan sebagainya. Kalau saya duduk bilik itu pasti akan terkenangkan dia. Memori bersamanya di Istana Budaya sangat kuat,” katanya.

BACA: Afdlin Shauki Mungkin Bekerja Dengan Hugh Jackman Untuk Filem Sabah

Bagaimanapun perkara itu tidak menjejaskan konsentrasi Afdlin untuk membuat persembahan seterusnya menghiburkan peminat di Lawak Ke Der. Dia turut berkata, Allahyarham Harun Salim Bachik juga seorang yang professional dan optimis dengan setiap perkara yang dilakukannya.

“Kita kena professional dan perlu tahu kerja dan tugas kita ialah untuk menghiburkan, dan abang Harun pun sama dia sangat professional apabila waktu bekerja, dia akan bekerja bersungguh. Masa sebelum membuat persembahan dia tidak akan bercakap atau membuat lawak pun dan akan berdiam untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada persembahan”

“Saya menghargai dia apabila saya membuat persembahan dengan betul. Bila sahaja selesai membuat persembahan barulah terkenangkannya apabila tribute mengingatinya dipersembahkan. Kalau saya fikirkan dia semasa membuat persembahan memang takkan jadi dan tak boleh pun sebut namanya. Saya kena jaga dan tahan sehingga ke akhir persembahan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Teater Lawak Ke Der akan dipentaskan bermula 16 April sehingga 19 April 2015 di Panggung Sari Istana Budaya Kuala lumpur. Jom! (rtky/hfz)